NGASI Terus Perkasa Warisan Ngajat Iban, Lahir Generasi Pewaris Budaya
KUCHING: Persatuan Ngajat Asal Iban (NGASI) terus memainkan peranan penting dalam memastikan warisan tarian Ngajat kekal lestari apabila berjaya melahirkan generasi muda yang mahir dalam seni persembahan tradisional masyarakat Iban.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, ngajat bukan sekadar tarian tradisional, malah melambangkan keberanian, perjuangan, kejayaan dan perpaduan masyarakat Iban.
Menurut beliau, kementeriannya amat menghargai komitmen NGASI dalam memelihara identiti serta warisan budaya masyarakat Iban agar terus diwarisi oleh generasi muda.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Susan Clement semasa Majlis Makan Malam Ke-11 Persatuan Ngajat Asal Iban (NGASI) 2026 di SJKC Chung Hua No. 2, Tabuan, di sini, pada Sabtu.
Datuk Snowdan menambah, penyertaan NGASI dalam pelbagai persembahan di luar negara termasuk di Manila dan Paris membuktikan bahawa warisan masyarakat Iban bukan sahaja dihargai di Malaysia, malah turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Ini sekali gus menjadi kebanggaan rakyat Sarawak dan membuktikan seni budaya kita mampu menembusi pentas dunia,” katanya.
Beliau turut berharap NGASI akan terus melahirkan lebih ramai bakat muda yang berkemahiran dalam tarian tradisional sekali gus memastikan kelangsungan warisan budaya Sarawak.
Pada majlis tersebut, Susan turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM10,000 daripada Datuk Snowdan kepada NGASI sebelum merasmikan majlis berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi NGASI, Bartholomew Sirow Chong berkata, seramai 11 pelajar berjaya menamatkan Kelas Tarian Ngajat Asal Iban pada tahun ini.
Beliau berharap lebih ramai golongan muda menyertai program tersebut bagi memastikan adat dan tradisi masyarakat Iban terus dipelihara untuk generasi akan datang.
Dalam pada itu, salah seorang peserta, Marion Bay Mitchell, 12, dari SK Saint Teresa berkata penyertaannya dalam kelas berkenaan memberi peluang untuk mempelajari Ngajat Asal Iban secara lebih mendalam.
Menurutnya, inisiatif NGASI menganjurkan kelas tersebut merupakan langkah terbaik dalam memastikan tarian tradisional masyarakat Iban terus diwarisi dan tidak ditelan zaman.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil tamat Kursus Ngajat Asal Iban kepada para pelajar oleh Susan Clement.-EDISI UKAS