Generasi Muda Diseru Hayati Perjuangan Pemimpin Terdahulu, Terus Pertahan Kemajuan Sarawak
KUCHING: Generasi muda perlu terus menghayati sejarah perjuangan pemimpin terdahulu sebagai asas untuk mempertahankan kemajuan dan kemakmuran Sarawak yang dinikmati hari ini.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, sambutan Hari Sarawak yang diraikan setiap 22 Julai bukan sekadar memperingati tarikh bersejarah, malah menjadi wadah menyemai semangat patriotisme serta menghargai permulaan pemerintahan sendiri yang membuka lembaran baharu kepada pembangunan negeri.
Menurut beliau, rakyat kini perlu memahami bahawa kemajuan pesat yang dicapai Sarawak merupakan hasil pengorbanan, kepimpinan dan perancangan strategik pemimpin terdahulu.
“Perubahan yang kita nikmati hari ini seperti pembangunan infrastruktur, jaringan telekomunikasi yang semakin meluas, bekalan air dan elektrik yang lebih baik, peluang pendidikan serta pelbagai bantuan kepada rakyat adalah hasil usaha berterusan kepimpinan negeri.
“Oleh itu, kita perlu menghargai sejarah ini dan memastikan legasi pembangunan yang telah dibina terus diperkukuhkan,” katanya ketika merasmikan Program Semarak Kemerdekaan di Dewan Serbaguna Kampung Kolong 2, pada Sabtu.
Dato Fazzrudin turut menyeru setiap lapisan masyarakat agar memainkan peranan sebagai pemimpin dalam ruang lingkup masing-masing, sama ada dalam keluarga, institusi pendidikan, tempat kerja mahupun komuniti, bagi bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negeri.
Dalam pada itu, beliau menggesa masyarakat supaya menjadi ejen penyampai maklumat dengan berkongsi pelbagai dasar, inisiatif dan bantuan yang disediakan Kerajaan Sarawak agar lebih ramai rakyat dapat memanfaatkan peluang yang ditawarkan.
Menurutnya, penyampaian maklumat yang tepat dan berkesan penting bagi memastikan setiap inisiatif kerajaan dapat dinikmati oleh golongan sasar.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Mohamed Faizal Shah Ali, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Tan Kai dan wakil Pegawai Daerah Kuching Hairol Nizam Morshidi. -EDISI UKAS