Program Lapangan UKAS Perkukuh Penyampaian Maklumat, Dekatkan Rakyat Perbatasan Dengan Kerajaan Sarawak
PANTU: Program lapangan anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di kawasan perbatasan terus memainkan peranan penting dalam memastikan rakyat menerima maklumat yang sahih, tepat dan terkini mengenai dasar serta inisiatif kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, pendekatan turun padang yang dilaksanakan UKAS bersama agensi rakan strategik membolehkan maklumat kerajaan disampaikan secara terus kepada masyarakat, khususnya di kawasan yang mempunyai kekangan akses terhadap medium komunikasi lain.
Menurut beliau, masih terdapat penduduk di kawasan perbatasan yang tidak mempunyai capaian internet atau akses konsisten kepada media sosial dan siaran radio, sekali gus menjadikan program lapangan sebagai medium komunikasi yang amat signifikan.
"Tidak semua rakyat di kawasan perbatasan Sarawak memperoleh akses kepada maklumat isu semasa yang dikongsikan melalui media sosial dan tidak semua mereka mendengar radio sepanjang masa.
"Sebab itu peranan UKAS amat penting dalam melaksanakan program lapangan bagi membolehkan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan menyampaikan maklumat mengenai isu semasa demi kepentingan rakyat di kawasan perbatasan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Outreach UKAS 2026: Memperkasakan Komuniti Perbatasan di Rumah William Umar, Punggu Tinting, dekat sini pada Sabtu.
Datuk Mong turut berkata, program lapangan UKAS bukan sahaja memudahkan penyampaian maklumat, malah menjadi platform yang menghubungkan rakyat dengan Kerajaan Sarawak serta meningkatkan kefahaman mereka mengenai pelbagai inisiatif dan pembangunan yang sedang dilaksanakan.
"Melalui program lapangan ini, UKAS secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan rakyat di kawasan perbatasan dengan Kerajaan Sarawak di samping memastikan maklumat mengenai usaha pembangunan dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
"Justeru, saya berharap UKAS dapat meneruskan inisiatif ini bagi memudahkan pelaksanaan program pembangunan kerajaan serta memastikan manfaatnya terus dinikmati rakyat di kawasan perbatasan dari semasa ke semasa," ujarnya.
Pada majlis sama, beliau mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah William Umar, Punggu Tinting.
Turut hadir, Pemangku Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Frank Lani, Pegawai Daerah Pantu, Racha Mulong, wakil Pengarah UKAS, Geoffery Baja Ricky Maba, Penolong Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Dr Petrus Basik, Pegawai UKAS Bahagian Sri Aman, Zaidil Ripin serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS