Projek RTP Pentas Baharu SK Gemuan Siap, Perkukuh Kemudahan Pendidikan
BINTANGOR: Projek pembinaan pentas baharu di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Gemuan yang dilaksanakan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pihak sekolah, sekali gus memperkukuh kemudahan bagi pelaksanaan aktiviti akademik, kokurikulum serta kemasyarakatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek bernilai RM50,000 itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan kemudahan pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, kemudahan tersebut bukan sahaja menyokong pelaksanaan aktiviti akademik dan kokurikulum, malah memperkukuh fungsi sekolah sebagai pusat pembangunan komuniti.
“Kemudahan seperti ini memberi ruang kepada pihak sekolah untuk melaksanakan lebih banyak aktiviti yang dapat mencungkil bakat, meningkatkan keyakinan murid serta mengeratkan hubungan antara sekolah dan komuniti,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan projek RTP pembinaan pentas Dewan SK Gemuan, pada Sabtu.
Datuk Ding berkata, projek yang diselia Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei itu berjaya disiapkan mengikut jadual pada 22 Julai 2026.
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak akan terus memastikan pelaksanaan projek RTP di kawasan Meradong diberi perhatian supaya setiap peruntukan yang disalurkan benar-benar memenuhi keperluan rakyat serta memberi manfaat berpanjangan kepada komuniti.
Katanya, setiap projek akan dipantau bagi memastikan pelaksanaannya menepati spesifikasi, berkualiti dan mampu memberi impak optimum kepada penerima manfaat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JKR Bahagian Sarikei, pihak pengurusan SK Gemuan, kontraktor dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan.-EDISI UKAS