Sukan Sekolah Wadah Bentuk Generasi Berdisiplin, Berdaya Saing
LUNDU: Penglibatan aktif dalam sukan sejak di bangku sekolah mampu menjadi asas penting dalam melahirkan generasi berdisiplin, berkeyakinan dan berdaya saing, selain membentuk semangat kepimpinan serta kerja berpasukan dalam kalangan murid.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, pembangunan murid tidak seharusnya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan penglibatan dalam aktiviti kokurikulum dan sukan bagi membentuk sahsiah yang menyeluruh.
“Kejohanan sukan sekolah bukan sekadar medan menentukan pemenang, malah menjadi platform untuk memupuk keberanian, disiplin, keyakinan diri dan semangat berpasukan yang menjadi bekalan penting kepada murid pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Sebiris 2026 di Kompleks Sukan Lundu pada Sabtu.
Dalam pada itu, Billy berkata pendidikan merupakan agen perubahan utama dalam membentuk masa depan generasi muda dan berharap pihak sekolah terus memberi penekanan terhadap penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Katanya, usaha itu penting bagi melahirkan lebih ramai pelajar yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk bersaing pada peringkat lebih tinggi seiring perkembangan semasa.
Sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan pendidikan dan kokurikulum di SK Sebiris, beliau turut mengumumkan tambahan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada pihak sekolah bagi membantu pelaksanaan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada murid.
Pada masa sama, beliau berharap kemudahan padang sekolah dapat terus dipertingkat dan diselenggara dengan baik agar dapat dimanfaatkan sebagai medan pembangunan bakat sukan serta melahirkan lebih ramai atlet berpotensi dari kawasan Opar.- EDISI UKAS