TYT Sarawak & Isteri Naiki Penerbangan Sulung Guna AirBorneo
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menaiki penerbangan sulung mereka menggunakan pesawat AirBorneo dari Kuching ke Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Keberangkatan pasangan itu menggunakan penerbangan AirBorneo mencerminkan sokongan terhadap syarikat penerbangan milik Sarawak yang berperanan memperkukuh kesalinghubungan udara serta memperluas jaringan pengangkutan negeri.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah tiba di Terminal VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada jam 12.15 tengah hari dan disambut oleh Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi serta Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi AirBorneo, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Turut mengiringi penerbangan tersebut ialah Datuk Amar Mohamad Abu Bakar bersama isteri, Datin Amar Baduyah Bujang yang menaiki pesawat MY5005.
Pesawat berkenaan dijadual berlepas tepat jam 1 petang dan dijangka tiba di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2.50 petang.
Difahamkan, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah berlepas ke Kuala Lumpur bagi memenuhi jadual lawatan rasmi.
Turut hadir mengiringi keberangkatan tersebut ialah Ahli Lembaga Pengarah AirBorneo, Datuk Philip Ting.-EDISI UKAS