Baram Regatta 2026 Lambang Perpaduan dan Keharmonian Masyarakat Sarawak
MARUDI: Baram Regatta 2026 bukan sekadar temasya perlumbaan perahu, sebaliknya menjadi manifesto aspirasi rakyat Baram sekali gus menjadi lambang perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum yang telah diwarisi sejak lebih satu abad lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, penganjuran regata yang dikenali sebagai ‘Mother Of All Regatta’ itu bermula pada tahun 1899 hasil kesepakatan masyarakat pelbagai kaum bagi mewujudkan keamanan.
Menurut beliau, tema Baram Regatta tahun ini yang diubah kepada ‘Peace, Unity and Progress’ menegaskan kepentingan keamanan sebagai asas kepada perpaduan dan kemajuan masyarakat.
"Untuk itu, kita perlu mengamalkan sifat toleransi yang tinggi, melakukan yang terbaik untuk memupuk keterangkuman sosial serta menolak segala provokasi dan penularan fahaman politik sempit yang lazimnya menggunakan retorik agama dan perkauman untuk meraih sokongan politik ketika musim pilihan raya.
"Apabila keamanan berjaya dicapai, maka kita semua dapat "segulai sejalai" membina perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Baram Regatta 2026 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Tebingan Sungai Marudi pada Sabtu.
Jelas beliau lagi, apabila keamanan dan perpaduan dapat dikekalkan, masyarakat akan dapat bergerak bersama-sama ke arah pembangunan infrastruktur, kemakmuran ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
Dalam pada itu, Datuk Dr Penguang berkata, Baram Regatta 2026 menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan 225 peserta melibatkan 21 acara perlumbaan powerboat dan 23 pasukan perahu kayuh, selain disertai peserta dari Brunei Darussalam serta beberapa bahagian di Sarawak termasuk Lawas, Sibuti, Mukah, Dalat, Belaga dan Miri.
Pertandingan tahun ini turut menawarkan lima piala utama iaitu Piala YAB Premier Sarawak bagi kategori Kayuh Tidak Terhad, Piala Petra Energy Berhad bagi kategori Kayuh Tidak Terhad, Piala Etnik Gemilang Yayasan Perpaduan bagi kategori Kayuh 30 Lelaki, Piala Unity Baram Regatta (Yayasan Perpaduan) bagi kategori Kayuh Tidak Terhad serta Piala Raja Batang Baram Regatta bagi kategori Kayuh Tidak Terhad. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Rais Sanusi