Pengeluaran Minyak AKW di Marudi Bukti Keupayaan Anak Sarawak Dalam Industri Minyak dan Gas
MARUDI: Kejayaan pengeluaran minyak pertama di medan Adong Kechil West (AKW), Marudi menerusi Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) membuktikan keupayaan anak Sarawak dalam menerajui industri minyak dan gas negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pencapaian itu menjadi bukti bahawa tenaga tempatan mempunyai kemampuan serta kepakaran untuk mengurus sektor strategik berkenaan.
Menurut beliau, penubuhan PETROS sebelum ini pernah dipersoalkan oleh sesetengah pihak yang meragui kemampuan rakyat Sarawak untuk memimpin industri minyak dan gas.
"Ada yang bertanya, 'Apa hal Sarawak menubuhkan PETROS? Di mana pakar PETROS? Anak Sarawak mungkin tidak mampu memimpin industri minyak dan gas. Biarlah PETRONAS sahaja!'.
"Tetapi hari ini, kita telah membuktikan bahawa anak Sarawak mampu berjaya dalam industri minyak dan gas," katanya ketika merasmikan Baram Regatta 2026 di Tebingan Sungai Marudi pada Sabtu.
Beliau berkata, kejayaan yang dicapai hari ini membuktikan bahawa anak Sarawak mampu menggalas tanggungjawab tersebut serta memainkan peranan penting dalam pembangunan industri tenaga negeri.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, pendekatan baharu Sarawak kini memberi penekanan terhadap penggunaan ilmu sains dan teknologi bagi meningkatkan nilai tambah sumber asli negeri.
Jelasnya, gas metana yang ditemui di Adong Kecil bukan lagi sekadar dieksport sebagai bahan mentah, sebaliknya boleh diproses menjadi produk bernilai tinggi seperti ammonia dan metanol.
Menurutnya, ammonia yang dihasilkan turut mempunyai potensi dalam industri hiliran termasuk pengeluaran baja, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu berasaskan teknologi dan inovasi.
Hadir sama, anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek) merangkap ADUN Mulu Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus, ADUN Telang Usan Dato Dennis Ngau, Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau, Residen Bahagian Miri Galong Luang serta dif kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Rais Sanusi