Pelaburan RM3.8 Bilion Projek MMMLL Buka Lembaran Baharu Kepada Baram
MARUDI: Pelaburan berjumlah RM3.8 bilion bagi Projek Jalan Miri-Marudi-Mulu-Long Lama (MMMLL) dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi Baram sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi baharu menerusi peningkatan kesalinghubungan dan pembangunan infrastruktur.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembinaan rangkaian jalan tersebut akan membuka lembaran baharu kepada Baram sekali gus mewujudkan peluang pembangunan yang lebih luas kepada penduduk setempat.
"Jalan ini akan membuka kawasan ekonomi Baram di mana pertamanya melalui sektor perkhidmatan, iaitu budaya kita dan tarikan unik yang terdapat di kawasan ini.
“Keduanya ialah pertanian moden yang mampu melahirkan komoditi eksport kerana kawasan Baram mempunyai tanah berbukit.
"Sudah tentu pakar-pakar sains boleh menganalisis tanah yang terdapat di sini dan bersama-sama membantu para petani serta masyarakat setempat menghasilkan komoditi pertanian yang boleh dieksport," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Baram Regatta 2026 di Tebingan Sungai Marudi pada Sabtu.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, keberanian kerajaan negeri melabur dalam projek berkenaan dibuat berdasarkan pertimbangan pulangan jangka panjang terhadap pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, ilmu pengetahuan dan inovasi menjadi faktor utama dalam meningkatkan nilai ekonomi ini seiring dengan pembangunan dan pelaburan yang dibawa oleh kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru generasi muda Baram agar merebut peluang melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran terkini supaya mampu memanfaatkan pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan di kawasan tersebut
Ujarnya, ekonomi kini bergerak seiring dengan perkembangan pesat ilmu pengetahuan yang berkembang maju mengikut arus pemodenan yang ada di peringkat global.
Pada penghujung majlis, Premier Sarawak serta dif kenamaan lain berkesempatan menyaksikan lumba perahu kayuh tidak terhad bagi merebut Piala YAB Premier Sarawak (Terbuka) Baram Regatta 2026 sebelum menyampaikan hadiah kepada semua para pemenang.
Tempat pertama menyaksikan Laking Belaga berjaya meraih tempat pertama sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15,000 beserta piala dan pingat.
Manakala, tempat kedua pula dimenangi oleh Singgah Tagal yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM8,000 beserta piala dan pingat diikuti tempat ketiga yang dimenangi oleh Taming Sari N76 yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM6,000 beserta piala dan pingat. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Rais Sanusi