AirBorneo Terus Lakar Detik Bermakna Bawa TYT Sarawak & Isteri Ke Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR: AirBorneo terus melakar satu lagi detik bermakna dalam sejarah penerbangannya apabila membawa Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi ke Kuala Lumpur dalam penerbangan rasmi mereka, pada Sabtu.
Penerbangan menggunakan pesawat Boeing 737-800 itu tiba di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2.50 petang sebelum disambut dalam suasana penuh istiadat yang menyerlahkan identiti serta warisan budaya Sarawak.
Turut mengiringi pasangan tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi AirBorneo, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri, Datin Amar Baduyah Bujang.
Ketibaan delegasi disambut oleh Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS), Datu Hamdan Sharbini dan Pegawai Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur, Awang Supian Awang Daud.
Suasana sambutan turut diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Sarawak yang menampilkan keunikan seni dan budaya negeri, sebelum diteruskan dengan bacaan doa yang dipimpin Pegawai Agama dan Penyelidikan Pejabat Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Syed Mohd Rusydi Wan Yusup.
Penerbangan itu merupakan kali pertama Tun Pehin Sri Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah menggunakan perkhidmatan AirBorneo sejak syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak itu memulakan operasi komersial bagi laluan Kuching–Kuala Lumpur pada 20 Julai lalu.
Pelancaran laluan berkenaan yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Isnin lepas menandakan permulaan operasi jet komersial AirBorneo, sekali gus memperkukuh jaringan perhubungan udara antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Penerbangan rasmi TYT Sarawak bersama AirBorneo turut mencerminkan keyakinan dan sokongan berterusan kepimpinan tertinggi negeri terhadap syarikat penerbangan milik Sarawak itu yang kini memainkan peranan penting dalam memperkukuh kesalinghubungan, merancakkan sektor pelancongan, menarik pelaburan serta memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Sejak memulakan operasi komersial, AirBorneo terus mengorak langkah sebagai syarikat penerbangan kebanggaan Sarawak dengan aspirasi memperluaskan rangkaian penerbangan domestik dan antarabangsa, selaras dengan agenda pembangunan negeri yang semakin pesat. -EDISI UKAS