Kerajaan Sarawak Perkukuh Pembangunan Modal Insan Melalui FTES
MIRI: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh komitmennya dalam membangunkan modal insan berkualiti menerusi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) sebagai pelaburan strategik untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata pendidikan merupakan asas kepada kemajuan negeri dan pemangkin utama dalam merealisasikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), sejajar dengan transformasi ekonomi Sarawak yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam pelbagai sektor strategik.
Jelasnya, FTES bukan sekadar menawarkan pendidikan tinggi percuma, malah membuka peluang kepada anak-anak Sarawak mengikuti 64 program strategik di institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak tanpa dibebankan yuran pengajian.
Perkara itu ditegaskan dalam teks ucapan Premier Sarawak yang dibacakan oleh wakilnya, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, ketika merasmikan Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak FTES 2026 di Recreational Hall, Curtin University Malaysia, di sini pada Sabtu.
Selain FTES, Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak turut menyediakan pelbagai inisiatif pendidikan termasuk Program Baucar Buku, Program Komputer Riba Percuma dan Bantuan Kewangan Khas Pelajar Sarawak bagi memastikan tiada anak Sarawak tercicir daripada menikmati peluang pendidikan.
Mengenai Ekspo Pendidikan FTES 2026, beliau menyifatkannya sebagai platform penting untuk menyalurkan maklumat berkaitan peluang pengajian, bantuan pendidikan dan pembangunan bakat kepada pelajar, ibu bapa serta masyarakat.
Malah, ekspo tersebut akan diperluaskan ke 30 lokasi di seluruh Sarawak bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat.
Dalam pada itu, beliau menyeru anak-anak Sarawak agar merebut peluang yang disediakan melalui FTES bagi membina masa depan yang lebih cemerlang dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri.
Turut hadir ialah Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin, Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli, Pro Naib Canselor Curtin University Malaysia, Professor Dr. Vincent Lee Chieng Chen, Wakil Residen Bahagian Miri, Norlia Ulis, serta Wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr. Cheong Yaw Liang.-EDISI UKAS