Pejabat Baharu UKAS Miri Perkukuh Penyampaian Maklumat Kerajaan
MIRI: Pembukaan pejabat baharu Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Miri mampu memperkukuh operasi penyampaian maklumat dan hebahan rasmi kerajaan di bahagian berkenaan.
Beroperasi secara rasmi sejak 5 Jun 2026, pejabat baharu UKAS Bahagian Miri kini terletak di Tingkat 11, Wisma Pelita Tunku, Jalan Padang, Miri.
Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, kewujudan pejabat sendiri itu memberi kemudahan lebih baik kepada UKAS Bahagian Miri yang sebelum ini berkongsi ruang pejabat di Pejabat Residen Miri di Kompleks Islam Sarawak, Jalan Pujut sejak penubuhan UKAS pada 2018.
“Dengan adanya pejabat UKAS sendiri, kita kini mempunyai kemudahan seperti sistem siar raya (PA system), kenderaan, ruang pejabat serta bilik mesyuarat sendiri yang dapat memudahkan operasi kita.
“Walaupun kita hanya mempunyai sembilan pegawai dan kakitangan di Miri, peranan UKAS dalam liputan berita dan penyampaian maklumat kerajaan amat penting,” katanya ketika berucap pada majlis pra pelancaran pejabat baharu UKAS Bahagian Miri pada Sabtu.
Menurutnya, kemudahan yang disediakan turut boleh dimanfaatkan oleh ketua masyarakat, ketua kaum, agensi kerajaan, sekolah serta jawatankuasa berkaitan bagi tujuan penyampaian maklumat dan penganjuran program.
Beliau berkata, UKAS Bahagian Miri akan kemudahan studio yang boleh digunakan untuk keperluan fotografi dan videografi, selain membantu menyebarkan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan.
“Sekiranya ada bahan daripada agensi atau jawatankuasa, salurkan kepada UKAS dan kita akan bantu menyebarkan maklumat itu melalui platform yang ada, dengan kredit diberikan kepada agensi terbabit,” katanya.
Awang Putrayusrie berkata, UKAS turut mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak dalam menyalurkan maklumat berkaitan isu kesihatan, keselamatan, sosial, sukan dan pelbagai bidang lain untuk dikongsi kepada masyarakat.
Beliau berharap pembukaan pejabat baharu itu dapat memperkukuh hubungan UKAS dengan agensi kerajaan dan komuniti di Miri, sekali gus memperluas penyampaian maklumat rasmi kerajaan kepada masyarakat.
Hadir sama Ketua Penolong Pengarah (Seksyen Pengurusan) UKAS, Anwar Hanafi Ardimansyah, Pegawai UKAS Bahagian Miri, Dayang Norazelina Hamdan, ketua jabatan dan agensi serta ketua kaum.-EDISI UKAS