Biro Wanita Pemangkin Pembangunan Luar Bandar, Wanita Perlu Terus Diperkasa
BETONG: Biro Wanita bukan sekadar platform menghimpunkan golongan wanita, malah berperanan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi, pendidikan dan perpaduan masyarakat luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, wanita perlu terus diperkasakan kerana mereka mampu menyumbang kepada pembangunan keluarga dan komuniti menerusi aktiviti ekonomi serta keusahawanan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Merarau Biro Wanita dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Serudit B, di sini, pada Sabtu.
Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, pelbagai pembangunan yang dinikmati masyarakat luar bandar hari ini membuktikan dasar dan inisiatif Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah membawa perubahan ketara kepada taraf hidup rakyat.
Menyentuh pembangunan ekonomi Bukit Saban, katanya, kawasan itu bakal dilengkapi dengan Lapangan Terbang Bebuling, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) serta Bebuling Agropark yang akan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi berasaskan pertanian moden.
Menurut beliau, pembangunan itu merupakan langkah strategik bagi mewujudkan rantaian nilai lengkap merangkumi pengeluaran, pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran hasil pertanian tempatan, sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
Jelasnya, pembangunan di Bukit Saban disusun berdasarkan kelebihan daya saing kawasan itu melalui peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Dalam aspek ekonomi, beliau berkata kerajaan terus membantu rakyat melalui pelbagai program pertanian dan keusahawanan termasuk bantuan baja, projek tanaman lada dan kelapa sawit, penternakan ayam kampung serta babi bagi meningkatkan pendapatan isi rumah.
Beliau turut menggesa ibu bapa memanfaatkan dasar pendidikan percuma Kerajaan Sarawak dengan memberi penekanan kepada pendidikan anak-anak sehingga ke peringkat pengajian tinggi kerana pendidikan merupakan kunci melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran.
Sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan wanita, Datuk Amar Douglas Uggah mengumumkan peruntukan RM20,000 bagi menaik taraf stor Biro Wanita Rumah Panjang Serudit B, RM10,000 sebagai dana Biro Wanita serta RM5,000 kepada setiap 43 keluarga Rumah Panjang Serudit B bagi membantu keperluan menaik taraf prasarana.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata wanita bukan sahaja berperanan menguruskan rumah tangga, malah mampu menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi keluarga melalui penglibatan dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau berkata sektor PMKS menyumbang kira-kira 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2024, sekali gus membuktikan peranan usahawan kecil termasuk golongan wanita amat signifikan.
Menurutnya, ramai wanita kini berjaya menceburi pelbagai bidang perniagaan seperti makanan, kraftangan, pertanian dan jualan dalam talian yang berpotensi berkembang sekiranya diusahakan dengan disiplin, kesungguhan dan keazaman.
Pada majlis sama, Dato Dr Richard turut mengumumkan peruntukan RM5,000 bagi menyokong pelaksanaan program dan aktiviti Biro Wanita Rumah Panjang Serudit B.
Turut hadir Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas serta Pegawai Daerah Betong Laga Kueh.-EDISI UKAS