Tradisi Narakng Perkukuh Warisan Budaya Salako Rara
LUNDU: Tradisi Narakng terus diperkasakan sebagai wadah menyatukan komuniti Salako Rara di Daerah Lundu, di samping memastikan khazanah adat dan budaya warisan leluhur terus dipelihara serta diwarisi generasi akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, usaha mempertahankan warisan seperti itu penting bagi memastikan identiti dan keunikan budaya masyarakat Salako Rara kekal relevan serta tidak terhakis dalam arus pemodenan.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Perarakan Narakng Komuniti Salako Rara 2026 yang berlangsung di sini, pada Sabtu.
Program tersebut menghimpunkan kira-kira 300 peserta membabitkan lebih 50 kenderaan bermotor sebagai simbol komitmen komuniti dalam melestarikan adat dan budaya masyarakat Salako Rara.
Perarakan bermula dari Rumah Adat Kampung Serayan Hilir dan melalui beberapa rumah adat serta perkampungan sekitar Lundu termasuk Semapu, Sebako, Pueh, Siru Dayak, Tanjam, Pasir Tengah dan Jangkar sebelum berakhir di Dewan Serbaguna Kampung Biawak.
Diketuai Tukang Tarakng, perarakan tersebut mengetengahkan ritual tradisi turun-temurun masyarakat Salako Rara yang antaranya berkait dengan permohonan keberkatan, kesuburan tanah dan kesejahteraan komuniti.
Pada masa sama, penganjuran program itu menjadi platform mengetengahkan keunikan pakaian tradisional, muzik, tarian dan adat resam masyarakat Salako Rara kepada masyarakat umum, khususnya generasi muda.
Usaha berkenaan turut berpotensi memperkukuh kedudukan warisan budaya tempatan sebagai antara produk pelancongan yang mampu mengetengahkan keunikan Daerah Lundu kepada pengunjung.
Program anjuran Kelab Jejak Warisan dan Khazanah Salako Rara itu turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pasukan keselamatan, sukarelawan, pemimpin masyarakat serta penduduk kampung bagi memastikan perjalanan perarakan berlangsung lancar dan teratur.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Niponi Undek dan Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail. -EDISI UKAS