Warisan Salako Rara Diperkasa Sebagai Pemangkin Perpaduan, Ekonomi Komuniti
LUNDU: Warisan budaya perlu terus dipelihara dan diperkasakan bukan sahaja sebagai lambang identiti masyarakat, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada perpaduan serta pembangunan ekonomi komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, ‘Narakng’ bukan sekadar perarakan ritual masyarakat Salako Rara, sebaliknya mencerminkan semangat perpaduan, kesepakatan dan kekuatan komuniti dalam mempertahankan adat resam, warisan serta identiti budaya yang diwarisi turun-temurun.
“Kejayaan penganjuran program ini membuktikan kerjasama erat antara generasi muda dan generasi senior, masyarakat kampung, pemimpin serta pelbagai agensi. Semangat kebersamaan inilah yang menjadi kekuatan masyarakat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penangguhan Program Narakng Komuniti Salako Rara 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Biawak, di sini, pada Sabtu.
Billy turut menegaskan bahawa dalam era globalisasi dan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), warisan budaya tidak boleh dipinggirkan kerana ia merupakan identiti unik yang membezakan masyarakat Sarawak daripada komuniti lain.
Menurutya, keunikan tarian, muzik tradisional, pakaian, makanan serta cara hidup masyarakat Salako Rara mempunyai nilai ekonomi yang tinggi dan berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan bertaraf antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau berharap Program Narakng dapat dipromosikan secara lebih meluas dan dijadikan acara tahunan yang lebih besar bagi menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada ekonomi penduduk setempat.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong penganjuran Program Narakng pada masa hadapan agar warisan budaya masyarakat Salako Rara terus dipelihara serta diwarisi oleh generasi akan datang.
Program anjuran Kelab Jejak Warisan dan Khazanah Salako Rara itu menghimpunkan kira-kira 500 pengunjung dan menjadi platform memperkukuh penghayatan terhadap adat resam serta mempererat hubungan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Niponi Undek, Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail dan Pengurus Projek Sarawak Energy Berhad James Sim Wei Hong. -EDISI UKAS