MARA Sasar Jualan RM1 Juta Menerusi BizNetwork Fiesta Sarawak Edisi Ke-2
KUCHING: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM1 juta menerusi penganjuran BizNetwork Fiesta Sarawak Edisi Ke-2 yang berlangsung selama tiga hari di Plaza Merdeka, sekali gus memperkukuh usaha memperkasa usahawan tempatan melalui pemasaran digital dan jaringan perniagaan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, program itu menghimpunkan 32 usahawan bimbingan MARA dari seluruh Sarawak yang bukan sahaja mempromosikan produk masing-masing, malah mengikuti latihan pemasaran secara langsung (live) di platform TikTok bagi meluaskan capaian pasaran.
Menurut beliau, pendekatan tersebut menerima sambutan amat menggalakkan apabila ramai usahawan berjaya memanfaatkan platform digital untuk memperkenalkan produk kepada lebih ramai pengguna.
“Ada dalam kalangan usahawan yang pertama kali membuat siaran langsung di TikTok dan mereka menerima maklum balas yang sangat positif daripada pengguna. Ini secara tidak langsung membuka peluang pasaran yang lebih luas kepada produk usahawan bimbingan MARA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan BizNetwork Fiesta Sarawak Edisi Ke-2 di Plaza Merdeka, di sini pada Sabtu.
Datuk Rubiah menambah, penganjuran kali ini turut mencipta sejarah apabila program MARA in Fashion diperkenalkan buat julung kalinya di Sarawak bagi mengetengahkan bakat usahawan fesyen tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sahaja mempromosikan hasil rekaan usahawan Sarawak, malah mengetengahkan identiti Borneo menerusi elemen reka bentuk yang kreatif dan inovatif.
Beliau turut memuji pencapaian seorang bekas peserta WorldSkills Malaysia yang kini berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Institut Kemahiran MARA (IKM) dalam bidang fesyen dan reka bentuk, selain membimbing pelatih menggunakan gabungan kreativiti serta teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Usahawan fesyen Sarawak mempunyai bakat yang besar. Apa yang mereka perlukan ialah ruang dan pendedahan. Apa yang boleh dilakukan di Semenanjung juga boleh kita laksanakan di Sarawak,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, BizNetwork Fiesta Sarawak turut menyaksikan pelancaran enam produk baharu hasil inovasi usahawan MARA yang menampilkan pembaharuan dari segi pembungkusan, cita rasa dan kepelbagaian produk.
Mengulas prestasi jualan, Datuk Rubiah berkata, program itu merekodkan jualan berjumlah RM228,190 pada hari pertama, manakala beberapa produk yang dipamerkan habis dijual pada hari kedua.
Beliau yakin sasaran jualan keseluruhan sebanyak RM1 juta mampu dicapai berdasarkan sambutan memberangsangkan daripada pengunjung serta potensi padanan perniagaan yang diwujudkan sepanjang penganjuran program.
Katanya, BizNetwork Fiesta bukan sekadar platform jualan, malah menjadi medium MARA memperkasakan usahawan khususnya di luar bandar melalui latihan pemasaran digital, pembangunan produk serta peluasan rangkaian perniagaan.-EDISI UKAS