Program Semarak Sarawak Perkukuh Perpaduan, Dekatkan Kerajaan Dengan Rakyat
BALINGIAN: Program Semarak Sarawak 2026 terus menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat serta mempererat hubungan antara kerajaan dan rakyat menerusi pendekatan komunikasi komuniti yang lebih dekat, selaras dengan usaha Kerajaan Sarawak memperkasakan penyampaian maklumat di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, penganjuran program oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan Hari Sarawak, malah berperanan menyatukan masyarakat pelbagai lapisan melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan, riadah dan kesihatan.
Beliau berkata, inisiatif sedemikian wajar diteruskan kerana menjadi medium berkesan untuk mengukuhkan hubungan antara kerajaan dan rakyat, di samping memupuk semangat cintakan Sarawak.
“Penganjuran Program Semarak Sarawak membuktikan komitmen UKAS dalam mendekati masyarakat melalui pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti. Saya berharap program ini akan terus menjadi platform menyatukan rakyat serta menyemarakkan semangat cintakan Sarawak demi masa depan negeri yang lebih maju, makmur dan sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program tersebut di Tapak Pesta Bederun Balingian, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Abdul Yakub berkata Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kekal komited memastikan pembangunan yang seimbang terus dinikmati rakyat sehingga ke kawasan luar bandar.
Katanya, sebagai wakil rakyat Balingian, beliau akan terus memberi perhatian terhadap keperluan penduduk, khususnya dalam aspek infrastruktur, pendidikan, kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan komuniti.
Sementara itu, Pegawai UKAS Bahagian Mukah Hafizzul Abdul Halim yang mewakili Pengarah UKAS, berkata, program berkenaan dianjurkan bersempena sambutan Hari Sarawak sebagai platform menyemarakkan semangat cintakan negeri, memperkukuh perpaduan dan meningkatkan rasa kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, program itu turut menjadi antara inisiatif UKAS @ Komuniti dalam memperkukuh penyampaian maklumat kerajaan di peringkat akar umbi, sekali gus mengeratkan hubungan antara rakyat, agensi kerajaan dan pemimpin setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine, wakil Pejabat Daerah Mukah dan Pejabat Daerah Kecil Balingian, Christopher Maurice, Ketua Cawangan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Balingian, Adeni Narawi serta tetamu lain.-EDISI UKAS