BALINGIAN: Program Semarak Sarawak 2026 terus mengukuhkan kebersamaan komuniti apabila pertandingan memancing dan sukan rakyat yang dianjurkan sempena program tersebut berjaya menarik penyertaan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Penyertaan aktif komuniti dalam pelbagai aktiviti riadah dan permainan tradisional itu mencerminkan kejayaan pendekatan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam mendekati masyarakat, di samping memperkukuh perpaduan serta semangat kebersamaan bersempena sambutan Hari Sarawak.
Program yang berlangsung di Tapak Pesta Bederun itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi, ADUN Tellian Royston Valentine serta Pegawai UKAS Bahagian Mukah Hafizzul Abdul Halim yang mewakili Pengarah UKAS.
Seramai 60 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan memancing, manakala enam pasukan berentap dalam acara sukan rakyat yang menampilkan pelbagai permainan tradisional.
Selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat, penganjuran aktiviti tersebut turut menjadi medium mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kesukanan serta memperkukuh jalinan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Dalam pertandingan memancing, Hafiz Fadhullah muncul juara, diikuti Ridzuan Abu Seman sebagai naib juara dan Ricky Mahali di tempat ketiga.
Kategori ikan terberat dimenangi Arni Yusri dengan tangkapan seberat 460 gram, manakala kategori udang terberat dimenangi Syukri Idris dengan hasil seberat 57 gram.
Bagi acara sukan rakyat pula, pasukan Wap Tebileng dinobatkan sebagai juara, diikuti Lorong Kopi 2 di tempat kedua dan ST Mary Chapel di tempat ketiga.
Program Semarak Sarawak merupakan antara inisiatif UKAS dalam mendekati masyarakat menerusi pendekatan UKAS @ Komuniti, dengan menggabungkan aktiviti kemasyarakatan, kebudayaan dan riadah bagi memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat serta meningkatkan penyertaan komuniti dalam program pembangunan negeri.-EDISI UKAS