Penduduk Sempadan Sri Aman Syukur Terima MyKad, Hasil Inisiatif Bersama
SRI AMAN: Penantian puluhan tahun akhirnya berakhir apabila beberapa penduduk di kawasan perbatasan Bahagian Sri Aman berjaya memperoleh kad pengenalan diri (MyKad) dalam satu sesi penyerahan yang diadakan sempena Program Outreach UKAS 2026 Memperkasa Komuniti, di sini pada Sabtu.
Sesi penyerahan tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, yang turut bersama menyantuni rakyat dalam usaha memastikan golongan di kawasan luar bandar tidak tercicir daripada mendapat dokumen pengenalan diri.
Kebang Bajang, 58, meluahkan rasa syukur selepas sekian lama menunggu untuk memiliki MyKad yang menjadi dokumen penting dalam urusan harian beliau.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana membantu mempercepatkan urusan permohonan saya selepas bertahun-tahun menanti,” katanya.
Bagi Manis Julam, 38, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak JPN atas komitmen membantu penduduk melalui tugasan khas.
Menurutnya, permohonan MyKad yang dibuat pada tahun 2024 akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya diperoleh pada tahun ini.
“Terima kasih kepada pihak JPN kerana memastikan proses berjalan dengan lancar sehingga saya berjaya mendapatkan MyKad,” ujarnya.
Sementara itu, Chrismalanda Stanley, 19, menyifatkan tempoh dua tahun menunggu sebagai berbaloi apabila permohonannya yang dibuat pada usia 17 tahun diluluskan.
Katanya, usaha berterusan pihak JPN dalam membantu golongan belia mendapatkan dokumen pengenalan diri amat dihargai.
Program tersebut menyaksikan kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan masyarakat di kawasan sempadan mendapat akses kepada perkhidmatan penting, sekali gus memperkukuh inklusiviti dan kesejahteraan komuniti setempat. -EDISI UKAS