Projek Infrastruktur RM2.9 Juta Tingkat Kemudahan Penduduk Kampung Merakai
SERIAN: Penduduk Kampung Merakai kini menikmati jaringan jalan, sistem saliran dan kemudahan awam yang lebih baik susulan siap sepenuhnya Projek Infrastruktur Kampung Merakai bernilai RM2.9 juta di bawah Agensi Pembangunan Penyelarasan Greater Kuching (GKCDA).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasakan pembangunan luar bandar serta memastikan rakyat menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih selesa, selamat dan berkualiti.
“Siapnya projek ini bukan sahaja memudahkan urusan harian penduduk, malah meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan dan aksesibiliti masyarakat.
“Ia juga membuka lebih banyak peluang pembangunan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Projek GKCDA DUN Bukit Semuja, di Dewan Kampung Merakai pada Sabtu.
Projek bernilai RM2.9 juta itu merangkumi kerja menaik taraf Jalan Kampung Merakai, pemasangan pembetung bagi memperkukuh sistem saliran, penurapan jalan dalaman kampung serta pembinaan petak parkir di Balai Raya Kampung Merakai.
Menurut John, pembangunan infrastruktur bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal, sebaliknya merupakan pelaburan strategik dalam meningkatkan taraf hidup rakyat serta merangsang pertumbuhan sosioekonomi setempat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Kerajaan Sarawak akan terus membawa lebih banyak projek pembangunan ke kawasan Bukit Semuja bagi memastikan komuniti luar bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan negeri.
Beliau turut menyifatkan kejayaan menyiapkan projek berkenaan sebagai hasil kerjasama erat antara agensi pelaksana, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Turut hadir, Residen Bahagian Serian Mackos Sibong, Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Serian Ir Ts Chiresly Francis Kureng, Ketua Polis Daerah Serian Superintenden Freddy Bian Stanilaus Bian dan wakil Pegawai Daerah Serian Jeff Currant James Engkapan. -EDISI UKAS