Kempen Derma Darah Sri Aman Berjaya Kumpulkan 76 Pek Darah
SRI AMAN: Kempen Derma Darah anjuran bersama Balai Polis Sri Aman, Hospital Sri Aman (Unit Tabung Darah), Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Simanggang berjaya mengumpulkam sebanyak 76 pek darah.
Kempen yang berlangsung di Dewan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman pada Sabtu itu menerima sambutan menggalakkan apabila 87 individu tampil menyertai program berkenaan, dengan 76 daripadanya layak menderma darah bagi membantu menambah bekalan darah Hospital Sri Aman untuk keperluan pesakit.
Penyertaan memberangsangkan itu mencerminkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menderma darah sebagai amalan kemanusiaan yang mampu menyelamatkan nyawa, selain memperkukuh semangat tanggungjawab sosial dalam komuniti.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie, turut hadir memberikan sokongan kepada para penderma serta merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan sukarelawan yang berganding bahu menjayakan kempen berkenaan.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Sri Aman Supt Dennis Bunyan, Timbalan Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Neil Baginda, Presiden Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman Kueh Aik Seng dan Pengerusi KRT Bandar Simanggang Tay Cho Seng.
Dalam lawatan sama, Dato Sri Doris turut meninjau Program Saringan Kanser anjuran Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman.
Program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengesanan awal penyakit serta menggalakkan orang ramai menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi meningkatkan peluang rawatan yang lebih berkesan. -EDISI UKAS