Pembangunan Infrastruktur Zon Tengah Pacu Pertumbuhan Ekonomi Sarawak
SIBU: Pembangunan infrastruktur secara menyeluruh di Zon Tengah sejak enam tahun lalu terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kualiti hidup rakyat, hasil komitmen berterusan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelbagai projek strategik melibatkan pembinaan jambatan, jalan raya serta penyediaan bekalan elektrik dan air bersih hingga ke kawasan luar bandar telah berjaya mengubah landskap pembangunan di wilayah berkenaan.
Menurut beliau, pembinaan jambatan yang menggantikan perkhidmatan feri bukan sahaja mempercepatkan perhubungan, malah membuka akses kepada peluang ekonomi dan pembangunan yang lebih seimbang.
“Kita bukan sekadar membina jambatan, tetapi menghubungkan komuniti, membuka peluang ekonomi dan membawa pembangunan kepada rakyat di seluruh Zon Tengah,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah di sini, pada Ahad.
Beliau yang juga Pengerusi GPS berkata, usaha pembangunan itu turut merangkumi kawasan Kapit, Song, Kanowit, Belawai, Kuala Rajang dan Delta Rajang menerusi peluasan rangkaian jalan raya serta penyediaan bekalan elektrik grid dan air bersih yang lebih menyeluruh.
Katanya, inisiatif berkenaan telah memberi limpahan manfaat kepada ekonomi tempatan, termasuk menjadikan Kapit sebagai antara kawasan yang mencatat pertumbuhan pesat dari segi perdagangan dan mobiliti penduduk.
Dalam perkembangan sama, Premier Sarawak memaklumkan kerajaan turut merancang pembangunan baharu di kawasan seberang Sungai Rajang di Sibu melalui pembinaan sebuah jambatan yang akan menghubungkan pusat bandar dengan West Bank.
Menurut beliau, reka bentuk jambatan berkenaan telah siap dan projek itu dijangka mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan selepas pelaksanaannya bermula.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Agung PBB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Ahli Majlis Tertinggi PBB, para perwakilan serta ahli-ahli PBB daripada 24 cawangan Zon Tengah. -EDISI UKAS