Premier Sarawak Jamin Tambang AirBorneo Kekal RM375 Selagi Pimpin Negeri
SIBU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberi jaminan kadar tambang syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak, AirBorneo akan kekal pada kadar RM375 selagi beliau menerajui pentadbiran negeri ini.
Beliau menegaskan, penubuhan AirBorneo bukan sahaja menyediakan lebih banyak pilihan kepada rakyat, malah mewujudkan persaingan sihat yang mampu menstabilkan kadar tambang penerbangan domestik, khususnya pada musim perayaan dan cuti sekolah.
Jelas beliau, inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan rakyat, terutama keluarga yang melakukan perjalanan antara bandar utama di Sarawak, tidak lagi terbeban dengan tambang penerbangan yang tinggi.
“Sebab itu saya bertekad untuk ‘melawan’ mereka (syarikat penerbangan lain), maka wujudlah AirBorneo. Sekurang-kurangnya rakyat mempunyai pilihan untuk memilih penerbangan dengan harga yang berpatutan, RM375. Dan kadar ini tidak akan berubah selagi saya Premier untuk semua,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjelaskan, selain memperkukuh pembangunan infrastruktur, Kerajaan Sarawak turut memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi masa depan melalui industri hidrogen, transformasi digital, kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan modal insan.
Katanya, kedudukan kewangan negeri yang kukuh, termasuk menerusi penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak, membolehkan hasil negeri diurus secara mampan demi kepentingan generasi akan datang.
“Kita ada kedudukan kewangan yang baik, kita tubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak demi masa depan anak Sarawak.
“Hari ini dana ini telah berkembang. Negeri kita tidak akan bankrap,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik merupakan asas penting bagi memastikan segala agenda pembangunan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dapat dilaksanakan secara konsisten demi kemajuan dan kemakmuran Sarawak.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan;Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Setiausaha Agung PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi; Ahli-ahli Majlis Tertinggi PBB; para perwakilan serta ahli PBB daripada 24 cawangan Zon Tengah. -EDISI UKAS