Pembangunan Pendidikan, Keselamatan Murid Menjadi Keutamaan
MIRI: Pembangunan pendidikan serta keselamatan murid di kawasan Senadin akan terus menjadi keutamaan kerajaan dengan menyediakan kemudahan pembelajaran moden dan infrastruktur yang lebih selamat bagi mewujudkan persekitaran pendidikan kondusif untuk generasi muda.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sekolah merupakan nadi kepada pembangunan komuniti dan perlu terus diperkasakan melalui penyediaan kemudahan yang mampu menyokong pembelajaran serta kesejahteraan murid.
Menurut beliau, antara inisiatif yang telah dilaksanakan ialah penyaluran ‘smartboard’ bagi menyokong pendigitalan pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Tudan serta pelaksanaan projek jejantas pejalan kaki bernilai RM7 juta yang menghubungkan kawasan sekolah.
Katanya, projek jejantas tersebut bukan sahaja mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak, malah menyediakan laluan yang lebih selamat dan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) untuk dimanfaatkan lebih 1,400 murid SK Tudan.
“Saya akan terus bekerjasama rapat dengan pihak sekolah, PIBG dan komuniti bagi memastikan anak-anak di kawasan Senadin mendapat peluang pendidikan yang terbaik serta persekitaran pembelajaran yang selamat, kondusif dan selari dengan perkembangan semasa,” katanya
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Zumbathon SK Tudan 2026, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, pembangunan fizikal sekolah perlu disokong dengan pembentukan gaya hidup sihat dalam kalangan murid bagi melahirkan generasi yang cergas, berdisiplin dan berdaya saing.
Menurutnya, Program Zumbathon menjadi platform menggalakkan aktiviti fizikal, memupuk semangat berpasukan serta mengeratkan hubungan antara murid, guru, ibu bapa dan komuniti setempat.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan murid agar mengamalkan keseimbangan dalam penggunaan teknologi dengan mengurangkan masa menggunakan telefon bimbit dan permainan video, sebaliknya memperbanyakkan penyertaan dalam aktiviti sukan, kokurikulum serta amalan membaca bagi menyokong perkembangan fizikal dan mental. -EDISI UKAS