JCI Senadin Tingkatkan Pembangunan Kepimpinan Belia Sarawak
MIRI: Penubuhan JCI Senadin Provision Chapter bakal meningkatkan lagi pembangunan kepimpinan belia di utara Sarawak sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada generasi muda mengembangkan potensi serta menyumbang kepada pembangunan komuniti.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penubuhan cawangan baharu itu merupakan perkembangan positif dalam usaha memperkukuh ekosistem pembangunan kepimpinan belia selaras dengan agenda pembangunan modal insan negeri.
Menurut beliau, setiap cawangan baharu bukan sahaja memperluaskan jaringan Junior Chamber International (JCI), malah menyediakan platform kepada lebih ramai belia untuk membina kemahiran kepimpinan, memperkukuh jaringan profesional serta melaksanakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Sarawak kini sedang melalui fasa transformasi pesat dalam pelbagai bidang. Namun aset paling bernilai yang kita miliki ialah modal insan, khususnya golongan muda yang inovatif, bertanggungjawab dan bersedia berkhidmat kepada masyarakat,” katanya
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Keluarga JCI Malaysia Kawasan Sarawak 2026 dan Majlis Penyampaian Anugerah Suku Tahun Kedua di Piasau Boat Club, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, JCI telah lama menjadi platform penting melahirkan pemimpin muda yang berwibawa menerusi penglibatan dalam khidmat masyarakat, pembangunan diri, keusahawanan dan jaringan antarabangsa.
Katanya, nilai integriti, akauntabiliti, kerja berpasukan dan semangat kesukarelawanan yang diterapkan dalam organisasi itu menjadi asas kepada pembentukan ramai pemimpin dalam sektor kerajaan, perniagaan dan masyarakat.
Mengulas mengenai penganjuran 2026 JCI Malaysia Area Sarawak Family Day, Dato Sri Lee berkata program itu bukan sahaja mengeratkan hubungan dalam kalangan ahli, malah memperkukuh kerjasama antara pertubuhan belia, kerajaan dan komuniti. -EDISI UKAS