Kerajaan Sarawak Terus Perkukuh Pemeliharaan Warisan Budaya Iban
SEKUAU: Kerajaan Sarawak memperkukuh usaha melestarikan warisan budaya masyarakat Iban menerusi sokongan berterusan kepada inisiatif pemuliharaan budaya, termasuk penyaluran geran RM10,000 kepada Persatuan Bakat Dayak Sarikei bagi memperkasa usaha pendokumentasian dan pewarisan seni tradisi.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Petrus Igat Mathias yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pemeliharaan budaya asal masyarakat Iban termasuk pantun Iban memerlukan komitmen berterusan daripada kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat bagi memastikan warisan tersebut kekal relevan dalam arus pembangunan semasa.
Beliau berkata, kerajaan akan terus menyokong inisiatif yang digerakkan oleh pelbagai pihak dalam memperkasakan seni dan budaya masyarakat Dayak sebagai sebahagian daripada usaha memelihara identiti serta warisan negeri.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan geran berjumlah RM10,000 daripada Datuk Amar Douglas Uggah kepada Persatuan Bakat Dayak Sarikei sebagai sokongan terhadap usaha memelihara, mendokumentasikan dan mengembangkan warisan budaya masyarakat Dayak.
Menurut beliau, penglibatan generasi muda dalam program berteraskan warisan budaya perlu terus diperkasakan kerana mereka merupakan pewaris kepada khazanah budaya masyarakat Iban. Penyertaan yang memberangsangkan dalam Bengkel Ngerembaika Pantun Iban membuktikan minat terhadap main asal masih kukuh dan wajar diperkembangkan secara berterusan.
Beliau turut menggesa lebih banyak NGO, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang serta komuniti setempat menganjurkan program seumpamanya bagi memperluaskan usaha pemindahan ilmu serta memastikan warisan budaya terus dipelihara.
Bengkel Ngerembaika Pantun Iban 2026 anjuran Persatuan Bakat Dayak Sarikei dengan kerjasama Majlis Seni Sarawak berlangsung selama dua hari bermula 25 hingga 26 Julai di Rumah Rantai, Skim Gempuru, Sekuau. Program yang memasuki siri kedua penganjurannya itu menghimpunkan 250 peserta.
Selain memberi penekanan kepada seni pantun Iban, bengkel berkenaan turut memperkenalkan pelbagai main asal masyarakat Iban seperti Sanggai, Bebiau, Ngajat, Naku Buah Inyak dan Gendang Pampat sebagai usaha memperkukuh pemahaman serta penghayatan terhadap warisan budaya.
Program itu turut menampilkan tokoh adat, ahli akademik, penyelidik dan penggiat budaya yang berkongsi ilmu serta pengalaman mengenai seni pantun Iban bagi menyokong usaha pendokumentasian dan pewarisan budaya kepada generasi pelapis. -EDISI UKAS