150 KMKK Subis Sertai Taklimat Program BUDI MADANI
BEKENU: Pejabat Daerah Subis terus memperkasa pemahaman Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) mengenai pelaksanaan subsidi diesel menerusi Taklimat Program BUDI MADANI.
Pegawai Daerah Subis, Ashard Samshu berkata, ia bagi memastikan maklumat berkaitan Program BUDI MADANI dapat disampaikan secara tepat dan jelas kepada penduduk di kawasan masing-masing.
“KMKK berperanan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat.
“Taklimat tersebut bertujuan memberi penerangan yang jelas mengenai pelaksanaan subsidi diesel, termasuk syarat kelayakan serta tatacara permohonan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.
Ashard berkata demikian dalam kenyataan sempena Taklimat Program BUDI MADANI yang menghimpunkan kira-kira 150 KMKK Daerah Subis di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Chung Hua Sibuti, pada Isnin.
Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus.
Beliau menambah, taklimat disampaikan pegawai daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Miri yang menerangkan dasar pelaksanaan program, syarat kelayakan serta kaedah permohonan.
Program diteruskan dengan sesi soal jawab bersama pegawai KPDN dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Miri bagi memberi peluang kepada KMKK mendapatkan penjelasan secara terus berhubung pelbagai persoalan berkaitan subsidi diesel.
Selain itu, KPDN dan LHDN Cawangan Miri turut menyediakan kaunter khidmat semakan dan konsultasi bagi membantu KMKK menyemak status serta mendapatkan maklumat berkaitan program berkenaan.
Ashard turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Rosey atas sokongan berterusan dalam menjayakan program berkenaan serta wakil KPDN Cawangan Miri, LHDN Cawangan Miri, Pusat Khidmat ADUN Bekenu yang menjayakan sesi tersebut. –EDISI UKAS