Maryline, Bonnyta Dinobatkan Kumang dan Keling Karnival Selangau 2026
SELANGAU: Maryline Dyna Alexius, 23, dari Sibu dan Bonnyta Braoh Morris, 34, dari Niah, masing-masing dinobatkan sebagai Kumang dan Keling pertandingan Pekit Keling dan Kumang Karnival Selangau 2026 yang berlangsung sempena Majlis Penangguhan Karnival Selangau 2026 pada Ahad.
Bagi kategori wanita, gelaran Kumang dimenangi oleh Maryline Dyna, diikuti Arinna Bilet sebagai Lulong, manakala Felicia Christian Richard meraih gelaran Selinggar Matahari.
Dalam kategori lelaki pula, Bonnyta Braoh muncul sebagai juara Keling, diikuti Lawrance Lugop Aseng sebagai Laja, sementara Vincent Noel Mawar memenangi gelaran Bungai Nuing.
Pemenang kategori Keling dan Kumang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta trofi.
Naib juara bagi kategori Laja dan Lulong menerima RM2,000 serta trofi, manakala pemenang Bungai Nuing dan Selinggar Matahari menerima RM1,500 berserta trofi.
Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Ir Christopher Gira Sambang.
Karnival Selangau edisi kali ini bukan sahaja menerima penyertaan dari seluruh Sarawak, malah berjaya menarik peserta dari Brunei dan Kalimantan, khususnya dalam acara Pekit Menyumpit.
Sambutan yang memberangsangkan itu menunjukkan Karnival Selangau semakin mendapat pengiktirafan di peringkat serantau dan berpotensi menjadi antara acara kebudayaan utama yang menghimpunkan masyarakat dari dalam dan luar negara.
Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (SRDC), Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai dan Pemangku Pegawai Daerah Selangau, Chua Siong Wei.-EDISI UKAS