Tiga Resolusi Diusulkan Perkasa Ekosistem Wakaf Moden
KUALA LUMPUR: Tiga resolusi strategik diusulkan semasa Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 bagi memperkukuh ekosistem wakaf yang lebih moden, mampan dan berimpak tinggi sekali gus meletakkan institusi wakaf sebagai pemacu pembangunan ekonomi, inovasi serta kesejahteraan ummah pada masa hadapan.
Resolusi pertama mengusulkan penubuhan Working Consultancy Group bagi menyemak dan meneroka pendekatan baharu yang dapat menambah nilai kepada struktur pengurusan wakaf agar lebih tersusun dan berkesan.
Resolusi kedua pula menyeru pemanfaatan teknologi secara menyeluruh menerusi platform digital yang mampu menghubungkan dana, kepakaran, inovasi serta jaringan kerjasama bagi memperluaskan manfaat dakwah merentasi sempadan negara.
Sementara itu, resolusi ketiga menggesa usaha bersepadu memperkasa keseluruhan ekosistem wakaf merangkumi aspek tadbir urus, pendigitalan, pembangunan modal insan, pelaburan patuh syariah, inovasi serta kerjasama strategik antara kerajaan, institusi agama, sektor korporat, akademia dan masyarakat.
Resolusi tersebut diusulkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg selaku Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) sebelum dokumen resolusi itu diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyempurnakan majlis penutupan Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin.
Sementara itu, Premier Sarawak berkata, ketiga-tiga resolusi tersebut bukan sekadar senarai cadangan, sebaliknya mencerminkan aspirasi membina masa depan institusi wakaf yang lebih progresif.
"Ketiga-tiga resolusi ini bukan sekadar senarai cadangan. Ia adalah gambaran tentang masa depan yang ingin kita bina bersama.
"Ini masa depan yang menyaksikan wakaf tidak lagi hanya dilihat sebagai amalan kebajikan, tetapi sebagai pemacu ekonomi, pemangkin inovasi, penyelesai masalah sosial dan penggerak pembangunan negara," katanya.
Beliau menambah, dokumen resolusi itu bukan penamat kepada konvensyen, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada satu gerakan nasional bagi membina ekosistem wakaf yang lebih moden dan berdaya saing.
"Kami tidak melihat dokumen ini sebagai noktah kepada sebuah konvensyen, tetapi sebagai titik permulaan kepada satu gerakan nasional
"Besar harapan kami agar segala syor yang dikemukakan dapat dipertimbangkan dan diperhalusi bersama oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Majlis Agama Islam Negeri, institusi wakaf, sektor korporat dan semua pemegang taruh demi membina sebuah ekosistem wakaf yang lebih moden, mampan dan berimpak tinggi," jelasnya.-EDISI UKAS