MIRI: Seramai 30 ibu tunggal menyertai bengkel kemahiran kraftangan yang dianjurkan bagi memperkasa golongan berkenaan melalui pendedahan kemahiran praktikal yang mampu menjana pendapatan sampingan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Pengerusi Panel Penasihat Kelab Sosial Kebajikan Harmoni Miri, Dato Sri Lee Kim Shin berkata program seumpama itu memberi peluang kepada peserta mempelajari kemahiran yang boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan produk sendiri atau dikomersialkan.
Menurut beliau, peserta sebelum ini turut didedahkan dengan pelbagai kursus kemahiran termasuk pembuatan kek, pizza, makanan serta kraftangan sebagai usaha berterusan memperkukuh keupayaan ekonomi mereka.
“Bengkel kali ini memberi fokus kepada penghasilan kraftangan menggunakan kain lebihan atau tidak digunakan bagi menghasilkan produk seperti selimut, sarung bantal dan barangan lain yang mempunyai nilai komersial.
“Melalui latihan ini, mereka bukan sahaja memperoleh kemahiran, malah boleh menghasilkan produk dari rumah untuk dijual sebagai pendapatan sampingan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri bengkel kemahiran kraftangan anjuran Kelab Sosial Kebajikan Harmoni Miri dengan kerjasama Kolej Komuniti Miri di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik penglibatan anak-anak peserta dalam program berkenaan kerana ia dapat menggalakkan aktiviti kekeluargaan di samping memberi pendedahan awal kepada generasi muda mengenai kemahiran praktikal.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak Kolej Komuniti Miri atas komitmen berterusan dalam menjayakan pelbagai program kemahiran untuk komuniti setempat.
Program tersebut turut memberi peluang kepada peserta memperoleh sijil selepas menamatkan latihan, sekali gus menjadi nilai tambah dalam usaha mendapatkan pekerjaan atau mengembangkan perniagaan sendiri.-EDISI UKAS