Kerjasama Ibu Bapa, Sekolah Dan Komuniti Pacu Kecemerlangan Pendidikan
SERIAN: Kerjasama erat antara ibu bapa, sekolah dan komuniti perlu terus diperkasakan bagi meningkatkan kecemerlangan pendidikan serta melahirkan generasi berdaya saing, khususnya dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang berkata, pendidikan merupakan asas kepada pembangunan modal insan yang berkualiti serta penentu kepada kemajuan negeri pada masa hadapan.
“Pendidikan merupakan senjata paling ampuh dalam membentuk masa depan individu serta kemajuan sesebuah negara,” ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Bersama Membina Masa Depan Anak-Anak’ sempena Program Menjulang Pendidikan Sarawak Tagap Manchang Lonjakan SPM 2026 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian pada Isnin.
Dr. Simon berkata, program tersebut menjadi platform untuk memperkasakan peranan ibu bapa, pengetua dan guru besar, selain mengenal pasti intervensi yang bersesuaian dalam menangani cabaran pendidikan di daerah Serian.
Beliau turut berkongsi bahawa usaha memperkukuh kecemerlangan pendidikan dalam kalangan masyarakat Bidayuh telah dilaksanakan sejak 2007 menerusi inisiatif Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) melalui program motivasi berteraskan aspirasi ‘Satu Keluarga Seorang Graduan’.
Di samping itu menurutnya, Sarawak kini berada di landasan yang tepat dalam membangunkan modal insan menerusi pelbagai inisiatif kerajaan negeri yang memberi penekanan kepada pendidikan dan pendigitalan.
Justeru katanya, semua pihak perlu terus memperkukuh kerjasama dan meningkatkan komitmen bagi memastikan anak-anak Sarawak memperoleh pendidikan berkualiti serta mampu bersaing pada masa hadapan.-EDISI UKAS