Rakyat Digesa Bersama Jayakan Agenda Pembangunan Sarawak
SIBU: Sarawak memerlukan kestabilan, perpaduan serta sokongan semua pihak bagi memastikan pelbagai agenda pembangunan strategik negeri ini dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.
Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri ketika ini, termasuk Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), pembangunan ekonomi hidrogen, tenaga hijau, ekonomi digital, pembangunan luar bandar serta pelaksanaan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), memerlukan komitmen berterusan semua pihak.
Menurut beliau, agenda pembangunan yang dirancang akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sarawak dan perlu diteruskan bagi memastikan negeri ini kekal berdaya saing serta bersedia menghadapi perubahan landskap ekonomi global.
"Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg begitu banyak dasar dan inisiatif telah dilaksanakan demi masa depan negeri kita.
"Tetapi pencapaian itu tidak bermakna sekiranya kita gagal mempertahankan mandat rayat dan mendapat mandat yang padu daripada rakyat," katanya ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah di sini pada Ahad.
Konvensyen tersebut telah disempurnakan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Dalam pada itu, beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), mengingatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam menerima maklumat yang disebarkan melalui media sosial, terutama dengan perkembangan pesat teknologi komunikasi dan kecerdasan buatan (AI).
Menurutnya, penyebaran maklumat yang tidak tepat atau dimanipulasi boleh berlaku dalam tempoh yang singkat dan berpotensi mengelirukan orang ramai sekiranya tidak disemak terlebih dahulu.
"Sebab itu saya menyeru agar kita semua tidak mudah percaya kepada apa yang muncul di media sosial. Ini ada kaitan dengan politik, semak dan pastikan dahulu kesahihan dan jangan menyadi agen kepada penyebaran pekara yang tidak benar," jelasnya.
Mengulas mengenai pembangunan modal insan, Dato Sri Alexander berkata, Sarawak terus mengamalkan pendekatan inklusif dengan memberikan peluang kepada anak negeri yang berkelayakan untuk menyumbang dalam pelbagai sektor termasuk perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi strategik negeri.
Beliau berkata, pendekatan berasaskan merit dan kelayakan itu membolehkan lebih ramai anak Sarawak memegang jawatan penting dalam pelbagai bidang, sekali gus memperkukuh kapasiti negeri dalam melaksanakan agenda pembangunan.
"Realitinya, Kerajaan GPS sentiasa mengangkat prinsip bahawa setiap anak Sarawak yang berkelayakan akan diberi peluang untuk berkhidmat tanpa mengira kaum.
"Inilah formula kejayaan Sarawak selama ini," tambahnya.
Menurutnya, kerjasama dan sikap saling menghormati antara pelbagai kaum merupakan asas penting kepada kejayaan Sarawak melaksanakan pelbagai dasar pembangunan secara inklusif.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Ahli Majlis Tertinggi PBB, para perwakilan serta ahli-ahli PBB daripada 24 cawangan Zon Tengah. -EDISI UKAS