Penguasaan AI Pacu Daya Saing Masyarakat Dalam Era Digital
KUCHING: Penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) penting dalam meningkatkan produktiviti, kreativiti dan daya saing masyarakat seiring perkembangan pesat ekonomi digital.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang berkata, perkembangan AI kini mengubah cara manusia bekerja, belajar dan berkomunikasi, sekali gus menuntut masyarakat khususnya golongan belia untuk bersedia menguasai teknologi berkenaan.
Menurutnya, AI tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai alat yang mampu meningkatkan kecekapan serta membuka peluang baharu dalam pelbagai bidang.
“Teknologi AI boleh membantu masyarakat meningkatkan produktiviti dan kreativiti, justeru pendedahan serta penguasaan terhadap teknologi ini penting agar mereka kekal berdaya saing dalam dunia yang semakin dipacu teknologi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Latihan Digital AI – ‘Creating Value with Your Smartphone’ anjuran Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Batu Kitang, Ranting Batu 10 di Bilik Mesyuarat SUPP Cawangan Kecil Batu 10, di sini pada Ahad.
Dato Lo turut menggalakkan lebih banyak program latihan digital berasaskan komuniti dianjurkan bagi memperluas pendedahan masyarakat terhadap teknologi baharu, selain membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.
Program separuh hari yang disertai kira-kira 40 peserta itu memberi pendedahan mengenai asas AI serta penggunaan pelbagai aplikasi yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian, pekerjaan, penciptaan kandungan digital dan perniagaan. -EDISI UKAS