MARUDI: Baram Regatta yang mempunyai sejarah panjang sejak penganjuran pertamanya pada 1899 terus menjadi simbol perpaduan masyarakat di sepanjang Sungai Baram.
Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, Baram Regatta bukan sekadar medan persaingan untuk merebut kejuaraan, sebaliknya terus menjadi platform perpaduan masyarakat Baram yang berbilang kaum dan budaya.
“Walaupun masyarakat Baram datang dari pelbagai kawasan seperti Ulu Baram atau Telang Usan, Sungai Tutoh, Sungai Apoh, Sungai Tinjar, Sungai Bakong dan Batang Baram, mereka tetap bersatu dalam semangat dan rentak perpaduan yang sama.
“Seperti banyak anak sungai yang mengalir ke Sungai Baram, kita semua datang daripada pelbagai cabang dan mengalir ke arah yang sama dengan rentak yang sama, sehingga akhirnya menjadi satu sungai yang besar dan kuat, iaitu Batang Baram,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Baram Regatta 2026 di Marudi, pada Ahad.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu itu menambah, Baram Regatta kali ini dianggarkan menjana impak ekonomi sekitar RM10 juta kepada Marudi sepanjang empat hari penganjurannya.
Ujarnya, berdasarkan anggaran perbelanjaan purata RM500 bagi setiap seorang daripada kira-kira 20,000 pengunjung, regata itu memberi limpahan manfaat kepada ekonomi tempatan.
“Sebanyak 147 gerai makanan dan kraftangan yang beroperasi sepanjang acara turut merekodkan jualan sekitar RM76,000, tidak termasuk hasil jualan kedai-kedai tempatan dan premis penginapan,” jelasnya.
Menurutnya, angka itu membuktikan Baram Regatta bukan sahaja mengukuhkan perpaduan masyarakat, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pelancongan di Marudi.
Baram Regatta 2026 yang berlangsung selama empat hari menyaksikan penyertaan 62 pasukan bot berkuasa tinggi melibatkan 162 pemandu serta 23 pasukan lumba perahu panjang yang melibatkan 920 pengayuh.
Lebih 15,000 pengunjung hadir memeriahkan Baram Regatta 2026, manakala 147 gerai makanan dan kraftangan yang beroperasi sepanjang acara tersebut mencatatkan jumlah jualan RM76,000.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Terawan-Mukunyang yang berjaya mengekalkan kejuaraan sebagai Raja Batang Baram untuk kali kedua berturut-turut.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Baram Regatta 2026 dan ADUN Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil serta isteri Datin Monica Ukong, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dominic Nyurang Ajang dan Pegawai Daerah Marudi, Rose Edward Tarang.-EDISI UKAS