Sarawak Perkukuh Kedudukan Sebagai Hab Warisan Tekstil Melalui Borneo Interwoven
SPAOH: Penganjuran Borneo Interwoven: Jalinan Borneo 2026 menjadi platform strategik dalam memperkukuh pembangunan industri kreatif berasaskan warisan tekstil tradisional Borneo menerusi perkongsian ilmu, inovasi dan kerjasama rentas sempadan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi komuniti serta pelancongan budaya di Sarawak.
Program yang berlangsung di Rumah Panjang Penom, Ulu Paku menghimpunkan kira-kira 120 peserta terdiri daripada penenun, pengamal pewarna semula jadi, pereka, penyelidik serta pemain industri kreatif dari Sarawak, Sabah, Indonesia, Brunei, Laos, Vietnam dan New Zealand.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Temenggung Iban Bahagian Betong, Temenggung Richard Mulok Entering selepas Upacara Miring dan Upacara Miau Pengabang sebagai simbol penghormatan terhadap adat serta warisan masyarakat Iban.
Pengerusi Persidangan Borneo Interwoven 2026, Dato Jacqueline Fong berkata, program tersebut diwujudkan bagi menghimpunkan artisan, pengamal warisan, penyelidik dan pemain industri tekstil dalam satu platform yang mampu memperkukuh kerjasama serta membuka peluang baharu kepada pembangunan industri tekstil tradisional di peringkat serantau.
“Kami mahu menghimpunkan pencinta tekstil, artisan dan pengamal warisan dalam satu platform yang memberi ruang kepada pembelajaran, perkongsian pengalaman serta pembinaan jaringan kerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Borneo Interwoven: Jalinan Borneo 2026 di Rumah Panjang Penom, Ulu Paku, Spaoh, pada Isnin.
Beliau berkata, pemilihan Rumah Panjang Penom sebagai lokasi penganjuran memberi pengalaman yang berbeza kepada peserta kerana mereka bukan sahaja mengikuti persidangan, malah berpeluang menyelami kehidupan komuniti rumah panjang yang masih mengekalkan amalan budaya dan warisan secara autentik.
Menurut beliau, penglibatan komuniti setempat bukan sahaja memperkukuh usaha memelihara warisan tekstil tradisional, malah membuka peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan hasil tenunan serta produk kraf kepada peserta dari dalam dan luar negara.
Sepanjang program yang berlangsung sehingga 31 Julai, peserta mengikuti pelbagai pengisian termasuk bengkel tenunan, demonstrasi pewarnaan menggunakan bahan semula jadi, persidangan ilmiah, pameran hasil kraf, sesi padanan perniagaan serta persembahan kebudayaan yang mengetengahkan kepelbagaian warisan masyarakat Borneo.
Program itu turut menyediakan ruang kepada penenun, artisan, usahawan dan penyelidik untuk bertukar pengetahuan, meneroka inovasi serta memperkukuh amalan lestari dalam penghasilan tekstil tradisional bagi meningkatkan daya saing industri berkenaan.
Penganjuran Borneo Interwoven 2026 dijangka memberi limpahan manfaat kepada komuniti setempat menerusi pengukuhan ekonomi kreatif, peningkatan aktiviti pelancongan budaya, promosi produk kraf tempatan serta peluasan jaringan kerjasama antara penggiat industri tekstil dari rantau Borneo dan ASEAN.-EDISI UKAS