Minggu Belia Sarawak 2026 Perkukuh Agenda Pembangunan Belia Negeri
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan belia menerusi penganjuran Minggu Belia Sarawak 2026 yang menjadi platform menghimpunkan golongan muda dalam pelbagai program kepimpinan, pembangunan bakat, keusahawanan, kemahiran dan kesukarelawanan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran yang berlangsung di Samarahan dari 10 hingga 16 Ogos itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa golongan belia sebagai aset strategik pembangunan negeri.
“Sambutan ini diadakan setiap tahun bagi menghargai sumbangan belia serta menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan dan perkembangan golongan belia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan akhir Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 di Kuching, pada Selasa.
Menurut beliau, majlis perasmian akan diadakan pada 15 Ogos di Dewan Suarah Samarahan dan dijadual disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Dato Sri Abdul Karim berkata, tema “Belia Aspirasi Kita” dikekalkan sebagai manifestasi keyakinan bahawa golongan belia merupakan pemacu masa depan Sarawak, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam melahirkan generasi muda yang progresif, berdaya tahan dan berdaya saing.
Beliau berkata, sambutan itu turut menjadi platform mengiktiraf kecemerlangan belia menerusi penyampaian Anugerah Tokoh Belia Lelaki, Anugerah Tokoh Belia Wanita dan Anugerah Persatuan Belia Terbaik sebagai penghargaan kepada individu serta pertubuhan yang menunjukkan pencapaian cemerlang dan mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda.
Sepanjang penganjuran, pelbagai aktiviti berteraskan pembangunan belia akan diadakan termasuk Youth Expo, Youth Camp, Youth Skill and Creativity, Youth Marketplace, e-Sport, Heritage Games serta program pembangunan bakat dan keusahawanan yang melibatkan lebih 30 usahawan belia tempatan.
Penganjuran Minggu Belia Sarawak 2026 dijangka menjadi platform memperkukuh pembangunan potensi belia melalui penglibatan dalam pelbagai program kepimpinan, kemahiran, keusahawanan dan kreativiti, sekali gus melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing.-EDISI UKAS