SIBU: Projek pembinaan jambatan yang bakal menghubungkan bandar Sibu dengan Tebing Barat Sibu terus menunjukkan perkembangan positif apabila reka bentuk projek tersebut telah disiapkan, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap pelaksanaan infrastruktur strategik yang dijangka menjadi pemangkin pembangunan kawasan berkenaan.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, perkembangan itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam merealisasikan projek yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Premier Sarawak atas pengumuman perkembangan terkini projek ini. Ia bukan sahaja memberi harapan baharu kepada penduduk Sibu, malah bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan Tebing Barat Sibu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, projek jambatan itu dijangka meningkatkan jaringan perhubungan antara bandar Sibu dan Tebing Barat Sibu, sekali gus mempercepat pembangunan kawasan, merancakkan aktiviti ekonomi, menarik pelaburan baharu serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Beliau berkata, jambatan tersebut juga berpotensi menjadi mercu tanda baharu bandar Sibu selain menyokong pembangunan wilayah yang lebih seimbang.
Kevin Lau berkata, cadangan pembinaan jambatan berkenaan mula dikemukakan semasa sambutan Tahun Baharu Cina anjuran SUPP tahun lalu yang turut dihadiri Premier Sarawak sebagai tetamu kehormat.
Beliau berkata, susulan cadangan itu, Premier Sarawak mengarahkan penubuhan sebuah pasukan petugas yang dipengerusikan bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee serta Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee bagi meneliti pelaksanaan projek tersebut.
Katanya, pengumuman bahawa reka bentuk jambatan telah siap menunjukkan projek berkenaan sedang bergerak mengikut perancangan dan mempunyai hala tuju pelaksanaan yang jelas.
Kevin Lau turut menegaskan SUPP akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam menyokong pelaksanaan projek itu bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati penduduk Sibu dan Tebing Barat.-EDISI UKAS