Literasi Digital, Penguasaan STEM Perkukuh Modal Insan Sarawak
BETONG: Literasi digital dan penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu terus diperkasakan dalam kalangan generasi muda bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan pembangunan serta ekonomi digital Sarawak.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, pelajar perlu memanfaatkan peluang pendidikan yang dinikmati hari ini untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta daya saing sebagai persediaan menghadapi keperluan tenaga kerja masa depan.
“Keamanan yang kita nikmati hari ini membolehkan anak-anak belajar dengan selesa. Gunakan peluang ini untuk belajar bersungguh-sungguh dan mengejar cita-cita kerana pendidikan ialah kunci kejayaan,” katanya
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program PENTARAMA Homecoming sempena Sambutan Hari Sarawak serta Program Jiwa @ Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Daerah Betong di SJKC Chung Hua Betong, pada Selasa.
Katanya, Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi khususnya dalam bidang STEM bagi menyokong pembangunan ekonomi baharu negeri, justeru pelajar digalakkan terus meningkatkan penguasaan ilmu serta kemahiran bagi merebut peluang pekerjaan pada masa hadapan.
Menurut beliau, perkembangan teknologi digital turut menuntut generasi muda menjadi pengguna internet yang beretika, berfikiran kritis dan bertanggungjawab dengan sentiasa menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
Dalam masa sama, beliau berkata sambutan Hari Sarawak, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia perlu dijadikan medium untuk menyemai semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan serta menghargai keamanan yang menjadi asas kepada pembangunan negeri dan negara.
Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cawangan Kuching dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak dan Pejabat Jabatan Penerangan Daerah Betong itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai literasi digital, menyampaikan maklumat kerajaan serta menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Majlis turut menyaksikan pelancaran Program PENTARAMA Homecoming sempena Sambutan Hari Sarawak serta Program Jiwa @ Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Daerah Betong yang diserikan dengan laungan “Saya Sayang Sarawak”, “Saya Sayang Malaysia”, “Belajar Bersungguh-sungguh” dan “Betong Hebat, Sarawak Maju” bersama para pelajar.
Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, Sabri Said, Penolong Pengarah SKMM Cawangan Kuching, Sabasatian Evan Weejane, Pegawai Penerangan Daerah Betong, Donny Minggu Ling, Guru Besar SJKC Chung Hua Betong, Lau Sie Teng, serta wakil pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).-EDISI UKAS