Premier Sarawak Terima Kunjungan Hormat Delegasi CFM
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada delegasi Christian Federation of Malaysia (CFM) yang diketuai Pengerusinya, Rev. Dr. Eu Hong Seng.
Menurut Rev. Dr. Eu, beliau menyifatkan Sarawak sebagai contoh terbaik dalam memupuk keharmonian antara agama dan kaum di negara ini.
Beliau turut memuji kepimpinan Premier Sarawak yang berjaya memacu pembangunan negeri sehingga muncul sebagai antara ekonomi berpendapatan tinggi di Malaysia.
“Pertemuan itu berlangsung dalam suasana mesra dan terbuka dengan kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai kemajuan pembangunan Sarawak, peranan UNIFOR, perkembangan semasa negara serta peranan yang boleh dimainkan Sarawak dalam memperkukuh perpaduan dan kestabilan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan itu di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya, pada Selasa.
Beliau turut menyifatkan kejayaan Sarawak sebagai hasil kepimpinan yang kukuh serta pengurusan sumber yang baik yang membolehkan negeri ini terus mencatat pembangunan yang progresif dan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Pengerusi CFM Datuk Danald Jute, Archbishop Dato Simon Poh Hoon Seng dan Pengarah UNIFOR Dato Georgina Apphia Ngau. - EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ibanez Jeffery