MACRO 2026 Perkukuh Kedudukan Sarawak Sebagai Hab Inovasi Global
KUCHING: Penganjuran Kongres Polimer Dunia Kesatuan Antarabangsa Kimia Tulen dan Gunaan (IUPAC) Ke-51 (MACRO 2026) mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab inovasi global apabila menghimpunkan lebih 800 saintis, penyelidik, ahli akademik, pemain industri dan pembuat dasar dari 64 negara bagi memperkasa kerjasama saintifik serta pembangunan teknologi ke arah masa depan yang mampan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah kongres berprestij itu mencerminkan keyakinan komuniti saintifik antarabangsa terhadap kemampuan negeri ini menyumbang kepada kemajuan penyelidikan dan inovasi di peringkat global.
“Saya difahamkan Kongres Polimer Sedunia IUPAC ini diadakan di Asia Tenggara buat kali kedua, sekali gus membuktikan keyakinan komuniti saintifik antarabangsa terhadap keupayaan kita. Anda semua menyumbang kepada penyelidikan global, inovasi dan kemajuan sains, dan itulah tujuan utama kehadiran anda di sini,” katanya ketika merasmikan MACRO 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini pada Selasa.
Beliau berkata, tema “New Polymers and Innovative Materials for a Sustainable Future” amat bertepatan dengan usaha menangani cabaran global termasuk perubahan iklim, kecekapan penggunaan sumber, pembuatan mampan, penjagaan kesihatan, tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan ekonomi kitaran melalui kemajuan sains polimer.
Menurut beliau, Sarawak kini giat melaksanakan transformasi ekonomi menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada pembangunan berasaskan sains, teknologi dan inovasi, di samping memanfaatkan tenaga hidro, ekonomi hidrogen, petrokimia serta kekayaan biodiversiti bagi merangsang pembangunan industri bernilai tinggi.
Katanya, kekayaan biodiversiti negeri ini turut membuka peluang kepada penyelidikan bahan berasaskan bio dan penemuan polimer baharu, manakala kerjasama dengan penyelidik antarabangsa penting untuk mempercepat penerokaan serta pengkomersialan hasil penyelidikan.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan sains polimer memberi impak besar kepada pelbagai sektor termasuk penjagaan kesihatan melalui penghasilan peranti perubatan, sistem penghantaran ubat, implan biodegradasi dan teknologi diagnostik yang mampu meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
MACRO 2026 yang berlangsung dari 28 hingga 31 Julai di BCCK dianjurkan oleh Institut Kimia Malaysia (IKM) di bawah naungan IUPAC dengan tema “New Polymers and Innovative Materials for a Sustainable Future”, menghimpunkan peserta dari seluruh dunia bagi membincangkan perkembangan terkini dalam bidang polimer dan bahan termaju.
Turut hadir Presiden Institut Kimia Malaysia, Datuk ChM Dr Soon Ting Kueh; Pengerusi Penganjur Kebangsaan MACRO 2026, Profesor Dr Rusli Daik serta dif-dif kenamaan lain. - EDISI UKAS