Pencawang Bernilai RM223.55 Juta Perkukuh Infrastruktur Tenaga Elektrik Bahagian Serian
SERIAN: Pembinaan Pencawang 275/(132)/33 kilovolt (kV) bernilai RM223.55 juta bakal menjadi pemangkin kepada pengukuhan infrastruktur tenaga di Bahagian Serian dengan meningkatkan kapasiti serta kebolehpercayaan bekalan elektrik bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan kawasan itu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek strategik itu dilaksanakan bagi memenuhi peningkatan permintaan tenaga sejajar dengan perkembangan pesat pembangunan di Bahagian Serian.
“Kerajaan Sarawak sentiasa komited membangunkan infrastruktur utiliti lebih awal bagi menyokong keperluan rakyat serta pelaksanaan pelbagai projek pembangunan pada masa hadapan.
“Pembinaan Pencawang Serian bukan sahaja meningkatkan kapasiti bekalan elektrik, malah memperkukuh kestabilan sistem bekalan dengan mengurangkan risiko gangguan bekalan serta menangani isu voltan rendah yang dihadapi di beberapa kawasan,” katanya ketika mengadakan lawatan rasmi ke tapak projek di Kampung Tana Buda, di sini pada Selasa.
Menurut beliau, berdasarkan taklimat yang disampaikan oleh Sarawak Energy, projek yang bermula pada 1 Disember 2025 itu kini telah mencapai 12 peratus kemajuan fizikal dan berada di landasan yang tepat untuk disiapkan serta ditauliahkan pada separuh kedua tahun 2028.
Katanya, apabila siap kelak, pencawang tersebut akan membolehkan bekalan elektrik tambahan disalurkan daripada grid utama bagi memenuhi keperluan pengguna di Serian, Tebedu dan Gedong, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, kapasiti tambahan itu juga akan menyokong pelaksanaan Pelan Induk Serian, selain memperkasa pelbagai projek pembangunan negeri dan Persekutuan termasuk sektor pelancongan, pelaburan serta aktiviti ekonomi yang memerlukan bekalan elektrik yang stabil dan berkualiti.
Dalam pada itu, Dato Sri Julaihi menegaskan Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUTS) akan terus bekerjasama rapat dengan Sarawak Energy bagi memperkukuh rangkaian infrastruktur tenaga di seluruh negeri.
Menurutnya, usaha tersebut penting bagi memastikan rakyat terus menikmati bekalan elektrik yang stabil, berkualiti dan berdaya tahan, sejajar dengan aspirasi kerajaan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat serta merancakkan pembangunan Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben, Ahli Parlimen Serian Dato Sri Richard Riot Jaem, ADUN Bukit Semuja John Ilus, Ketua Pegawai Eksekutif SESCO Berhad Yusri Safri, Pengarah Bekalan Elektrik Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Muhammad Randie Abdullah, Timbalan Residen Bahagian Serian Abdul Khalid Manap dan Pegawai Daerah Serian Inting Nyami. -EDISI UKAS