Kunjungan Hormat PNMB Cawangan Kuching Perkukuh Hubungan Strategik Bersama UKAS
KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menerima kunjungan hormat daripada delegasi Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) Cawangan Kuching dalam usaha mengukuhkan kerjasama strategik antara kedua pihak.
Kunjungan pada Selasa itu susulan lawatan kerja UKAS ke Ibu Pejabat PNMB di Kuala Lumpur pada 5 Februari lalu.
Delegasi PNMB Cawangan Kuching diketuai oleh Pengurus Akaun Perniagaan, Odrick Kuick disambut oleh Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan di Ibu Pejabat UKAS, Bangunan Baitulmakmur, di sini.
Pertemuan tersebut dimulakan dengan sesi pengenalan mengenai peranan dan fungsi UKAS sebagai agensi komunikasi rasmi Kerajaan Sarawak yang bertanggungjawab menyelaras penyampaian maklumat, dasar dan inisiatif kerajaan kepada rakyat melalui pelbagai platform media.
Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan perkembangan terkini PNMB, termasuk perkhidmatan serta penyelesaian yang ditawarkan syarikat bagi memenuhi keperluan sektor awam dalam bidang percetakan, penerbitan dan pengurusan dokumen.
Dalam pertemuan itu, UKAS dan PNMB turut bertukar pandangan mengenai peluang kerjasama yang berpotensi untuk dilaksanakan pada masa hadapan, khususnya dalam memperkukuh penyampaian maklumat kerajaan melalui penyelesaian percetakan dan penerbitan yang lebih inovatif dan berkualiti.
Kunjungan hormat tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan strategik serta meneroka kerjasama yang mampu memberi nilai tambah kepada penyampaian perkhidmatan dan komunikasi kerajaan demi manfaat masyarakat.-EDISI UKAS