687 Bot Laju Kawalan Jauh Bakal Gegar Sungai Rajang
SIBU: Sebanyak 687 bot laju kawalan jauh dari dalam dan luar negara bakal berentap pada Sibu International RC Powerboat Race River Challenge 2026 yang akan berlangsung di Tebingan Pulau Li Hua, di sini, dari 30 Julai hingga 2 Ogos ini.
Setiausaha Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian Sibu (DTTG) merangkap Ketua Sekretariat Sibu International RC Powerboat Race River Challenge 2026, Maria Nadja Jimmy berkata penyertaan kali ini melibatkan peserta dari Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia serta empat negara iaitu Brunei Darussalam, Thailand, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Brunei mencatat penyertaan antarabangsa terbesar dengan 28 peserta, diikuti Thailand (tiga), Indonesia (dua) dan UAE (dua).
“Kehadiran peserta antarabangsa ini membuktikan bahawa kejohanan ini semakin mendapat pengiktirafan sebagai antara acara RC Powerboat utama di rantau Asia Tenggara,” katanya pada sidang media di Pejabat Residen Bahagian Sibu di Kompleks Islam Sibu, pada Isnin.
Menurut Maria, sebanyak sembilan kategori akan dipertandingkan dengan hadiah wang tunai sehingga RM3,000 bagi setiap kategori utama, selain Anugerah Champion of the Best (Piala DTTG Sibu) yang menawarkan hadiah RM1,000 berserta trofi.
“Selain perlumbaan, penganjuran kali ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk pertandingan mewarna dan membuat lakaran, pertandingan menyumpit terbuka, cabutan tiket bertuah serta gerai jualan makanan, minuman dan cenderamata rasmi kejohanan,” katanya.
Majlis perasmian rasmi akan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Allan Siden Gramong pada 30 Julai, manakala majlis penutupan dan penyampaian hadiah pada 2 Ogos akan disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing.
Sibu International RC Powerboat Race River Challenge dianjurkan buat kali ketiga oleh DTTG Sibu selepas kejayaan penganjuran edisi pertama pada 2024 dan edisi kedua pada 2025.
Pada tahun lalu, kejohanan itu mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penyertaan 759 bot kawalan jauh dalam satu acara.-EDISI UKAS