Generasi Muda Perlu Diterap Semangat Patriotisme Sejak di Bangku Sekolah
BETONG: Semangat patriotisme, perpaduan dan jati diri perlu diterapkan dalam kalangan generasi muda sejak di bangku sekolah bagi melahirkan rakyat yang mampu meneruskan pembangunan Sarawak dan negara pada masa hadapan.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, program seperti PENTARAMA Homecoming sempena Sambutan Hari Sarawak serta Program Jiwa @ Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Daerah Betong menjadi platform penting untuk menyemai nilai-nilai tersebut dalam kalangan murid.
Menurut beliau, kejayaan seseorang bukan sahaja bergantung kepada kebijaksanaan individu, malah memerlukan semangat kerjasama, saling membantu dan saling melengkapi antara satu sama lain.
“Murid-murid perlu menghargai persahabatan, bekerjasama dalam setiap aspek kehidupan, mempunyai cita-cita yang tinggi, rajin menuntut ilmu serta sentiasa menghormati guru dan ibu bapa kerana kejayaan bermula dengan disiplin, kesungguhan dan kesediaan menerima nasihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program berkenaan di Dewan Sri Abadi, Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Kadir, di sini, pada Selasa.
Mengulas mengenai keunikan Sarawak, Dato Dr Richard berkata semangat "Segulai Sejalai" perlu terus dipupuk dalam kehidupan seharian sebagai simbol perpaduan masyarakat berbilang kaum, selain menggalakkan murid-murid sentiasa membantu rakan yang menghadapi kesukaran sama ada dalam pelajaran mahupun kehidupan.
Beliau turut mengingatkan murid agar menghargai sejarah pembentukan Sarawak dan Malaysia serta memahami kepentingan sambutan Hari Sarawak, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dalam menyemai semangat cintakan negara.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan menggunakan teknologi secara berhemah dengan menyemak kesahihan maklumat serta memanfaatkan internet sebagai medium menambah ilmu, bukannya menyebarkan berita palsu.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan akan terus memperjuangkan pembangunan khususnya dalam bidang pendidikan di kawasan Betong bagi memastikan kemudahan dan prasarana sekolah terus dipertingkatkan demi melahirkan generasi berilmu, berdaya saing serta mempunyai jati diri yang kukuh.
Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cawangan Kuching dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak serta Jabatan Penerangan Daerah Betong itu diisi dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk Segmen Info dan Kuiz, Permainan Kiub Puzzle, Kahoot Kuiz Kenegaraan serta Pertandingan Peragaan Busana.
Majlis turut menyaksikan penyerahan Jalur Gemilang dan Bendera Ibu Pertiwi kepada Guru Besar SK Abang Abdul Kadir sebagai simbolik menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan warga sekolah.
Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak Sabri Said, Penolong Pengarah SKMM Cawangan Kuching Sabasatian Evan Weejane, Pegawai Penerangan Daerah Betong Donny Minggu Ling serta Guru Besar SK Abang Abdul Kadir Betong Awang Marali Awang Razali.-EDISI UKAS