Isu PPR Bandaria Park Ditangani Secara Adil, Setiap Kes Dinilai Berasingan
BINTULU: Isu membabitkan penyewa Program Perumahan Rakyat (PPR) Bandaria Park akan ditangani secara adil dan berhemah dengan mengambil kira latar belakang serta keadaan setiap penghuni sebelum sebarang keputusan dibuat.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, sebanyak 22 kes dikenal pasti melibatkan pelbagai isu termasuk penyewaan kepada pihak ketiga, perpisahan keluarga dan kematian pasangan.
Menurut beliau, setiap kes mempunyai faktor dan keadaan yang berbeza, justeru ia perlu dinilai secara individu tanpa menggunakan pendekatan yang sama.
“Ini bukan kes yang mudah. Setiap satu mempunyai keadaan tersendiri dan perlu diteliti dengan adil sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya ketika berucap pada Sesi Penerangan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) bersama wakil penduduk PPR Bandaria Park di Hotel NU Bintulu, pada Selasa.
Beliau menambah, perkembangan pesat sektor minyak, gas dan perindustrian menjadikan Bintulu antara kawasan yang mencatat permintaan perumahan tertinggi di Sarawak, sekali gus menyumbang kepada peningkatan harga rumah.
Katanya, kenaikan kos bahan binaan dan harga tanah turut memberi kesan kepada harga hartanah, menyebabkan pemilikan rumah menjadi semakin mencabar bagi sebahagian masyarakat.
Bagaimanapun, beliau yakin kedudukan kewangan Kerajaan Sarawak yang semakin kukuh membolehkan kerajaan negeri mempertimbangkan pelbagai pendekatan bagi menangani isu perumahan sekiranya diperlukan.
Sementara itu, Pengerusi HDC, Abdul Yakub Arbi berkata, sesi penerangan tersebut diadakan bagi memberi penjelasan mengenai syarat penyewaan serta hak dan tanggungjawab penyewa, selain membuka ruang dialog untuk membincangkan isu yang dibangkitkan penduduk.
Menurut beliau, HDC komited memperkukuh pengurusan PPR Bandaria Park dengan meneliti setiap aduan dan maklum balas yang diterima, di samping melaksanakan kerja penyelenggaraan secara berperingkat mengikut keutamaan.
Katanya, kejayaan usaha tersebut memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan PPR Bandaria Park terus menjadi kawasan kediaman yang selesa, selamat dan harmoni.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming serta wakil penduduk PPR Bandaria Park. -EDISI UKAS