Empat Draf Kajian Semula Adat Dikemukakan Bagi Tujuan Semakan
KUCHING: Empat draf kajian semula adat telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Besar Sarawak bagi tujuan semakan.
Perkara itu dimaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki ketika beliau menerima kunjungan hormat Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS), Datu Dr Neilson Ilan Mersat di Wisma Bapa Malaysia, pada Selasa.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar dimaklumkan bahawa empat draf adat berkenaan melibatkan Adat Iban, Adat Bidayuh, Adet Kayan dan Adet Kenyah.
Memetik siaran media MAIS berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha mereka memodenkan sistem adat melalui tafsiran semula, penambahbaikan serta pengenalan peruntukan baharu agar adat terus selari dengan perubahan cara hidup masyarakat yang semakin dinamik dan moden.
Usaha itu juga mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memelihara warisan adat pelbagai kaum sambil memastikan pelaksanaannya kekal praktikal dan sesuai dengan keperluan semasa.
Dalam pertemuan tersebut, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut merakamkan ucapan tahniah kepada Datu Dr Neilson atas pelantikannya sebagai Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak bagi sesi 2026 hingga 2029.
Turut hadir, Setiausaha MAIS Elsie William. -EDISI UKAS