Integriti Penjawat Awam Bermula Dengan Disiplin Harian, Etika Media Sosial
KUCHING: Integriti dalam perkhidmatan awam tidak seharusnya hanya diukur melalui usaha membanteras rasuah, malah perlu diterjemahkan menerusi disiplin kerja, ketelitian melaksanakan tugas serta penggunaan media sosial secara beretika.
Pengarah Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (UPPSM), Datu Sharifah Rohana Datu Wan Alwi berkata, pembudayaan integriti melangkaui isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, sebaliknya perlu diamalkan dalam setiap aspek tugasan harian.
Menurut beliau, setiap jawatan yang disandang merupakan satu amanah, justeru sebarang kompromi terhadap integriti bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi organisasi, malah menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Integriti UPPSM bertemakan “Integriti Diperkasa, Perkhidmatan Berkualiti”, di sini pada Rabu.
Program tahunan anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Sarawak bersama UPPSM, Jabatan Premier Sarawak itu dihadiri seramai 153 warga kerja.
Majlis turut diisi dengan Ceramah Integriti yang disampaikan oleh Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak, Mardiana Han.
Sambutan itu turut menjadi simbol komitmen berterusan UPPSM dalam memperkukuh amalan integriti serta menyokong pelaksanaan inisiatif tadbir urus berintegriti dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.-EDISI UKAS