Kerajaan Sarawak Terus Perkasa Kemudahan Rumah Ibadat Melalui RTP
SIBU: Komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kemudahan rumah ibadat pelbagai agama diteruskan menerusi pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM100,000 bagi menaik taraf kemudahan di Gereja Peace Methodist di sini.
Projek yang telah siap dilaksanakan itu merangkumi kerja penggantian tingkap aluminium jenis louvre kepada tingkap kaca, pembaikan siling, kerja kalis air serta pemasangan lampu bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan penggunaan bangunan untuk aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, projek berkenaan membolehkan ruang di tingkat atas gereja dimanfaatkan dengan lebih optimum bagi pelbagai aktiviti komuniti termasuk program gereja dan riadah.
“Penggantian tingkap membolehkan ruang di tingkat atas digunakan dengan lebih selesa untuk pelbagai aktiviti komuniti termasuk permainan ping pong dan program gereja.
“Ini merupakan projek RTP pertama yang kita laksanakan untuk kerja penyelenggaraan gereja ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pemeriksaan akhir projek berkenaan pada Jumaat.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati projek tersebut telah disiapkan dengan baik, namun pihak gereja memaklumkan masih terdapat kebocoran di siling tingkat paling atas bangunan empat tingkat itu.
Sehubungan itu, satu lagi cadangan projek RTP akan dipertimbangkan bagi melaksanakan kerja kalis air di bahagian berkenaan sebagai kesinambungan usaha menaik taraf kemudahan gereja.
Menurut Datuk Michael Tiang lagi, Gereja Peace Methodist yang mempunyai kira-kira 300 ahli sebelum ini turut menerima bantuan daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi melaksanakan beberapa projek naik taraf utama.
Katanya, pelaksanaan RTP tersebut melengkapkan usaha penambahbaikan sedia ada bagi memastikan kemudahan gereja terus memenuhi keperluan komuniti setempat.
“Sebagai wakil rakyat tempatan, saya hanya membantu melaksanakan penambahbaikan tambahan pada bahagian-bahagian yang masih memerlukan perhatian.
“Gereja memainkan peranan penting dalam menyatukan komuniti, menyediakan ruang untuk aktiviti kemasyarakatan dan memberi sokongan kepada penduduk, khususnya golongan warga emas,” katanya lagi.
Pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan kemudahan rumah ibadat sebagai pusat aktiviti komuniti, sekali gus menyokong kesejahteraan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.-EDISI UKAS