Projek RTP, MRP Batang Ai Diagih Mengikut Keutamaan Keperluan Rakyat
LUBOK ANTU: Projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai akan terus diagihkan mengikut keutamaan dan keperluan semasa masyarakat bagi memastikan setiap peruntukan pembangunan memberi manfaat secara langsung kepada komuniti luar bandar.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, pendekatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan dilaksanakan secara tersusun, inklusif dan menepati keperluan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bersama Komuniti Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) DUN Batang Ai di Rumah Kain Anggie, Bintong, pada Khamis.
Menurut beliau, pelaksanaan projek RTP dan penyaluran peruntukan MRP akan diteruskan secara berfasa kepada rumah-rumah panjang di seluruh Batang Ai berdasarkan keutamaan dan keperluan setempat agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa mengambil kira keperluan sebenar komuniti dalam merancang dan melaksanakan projek pembangunan bagi memastikan kemudahan asas serta kesejahteraan rakyat terus dipertingkatkan.
Pada majlis sama, Datuk Dr Malcolm meluluskan peruntukan MRP berjumlah RM20,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Bintong, RM10,000 kepada Biro Wanita Rumah Bintong serta peruntukan RTP 2026 sebanyak RM100,000 kepada JKKK Rumah Bintong bagi melaksanakan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Mikai Mandau, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lubok Antu Stanley Nunsang dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Neging. -EDISI UKAS