Dua Projek Infrastruktur Bernilai RM300,000 Di Sadong Jaya Siap Lebih Awal
SADONG JAYA: Dua projek infrastruktur awam bernilai keseluruhan RM300,000 di Kampung Terasi Cina dan Kampung Sungai Putin berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual, sekali gus membolehkan kemudahan tersebut dimanfaatkan lebih segera oleh penduduk setempat.
Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak itu melibatkan pembinaan sistem saliran konkrit di Kampung Terasi Cina serta kerja perlindungan tebing sungai menggunakan gabion di Kampung Sungai Putin.
Majlis ringkas penyerahan siap projek diadakan melibatkan pihak kontraktor dan wakil penduduk kampung serta disaksikan Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Rafendy Ariffen bersama pegawai dari Pejabat Residen Bahagian Samarahan, Pejabat Daerah Asajaya dan JPS Bahagian Samarahan, pada Jumaat.
Projek di Kampung Terasi Cina yang bernilai RM200,000 melibatkan pembinaan saliran terbuka konkrit bertetulang selebar 900 milimeter sepanjang kira-kira 165 meter serta saliran selebar 600 milimeter sepanjang kira-kira 135 meter bagi meningkatkan kecekapan sistem saliran di kawasan berkenaan.
Sementara itu, projek di Kampung Sungai Putin bernilai RM100,000 melibatkan pembinaan struktur perlindungan tebing sungai menggunakan gabion sepanjang 36 meter bagi mengurangkan risiko hakisan dan melindungi kawasan berhampiran.
Kedua-dua projek berkenaan mempunyai tempoh kontrak selama 120 hari bermula 8 April lalu dengan tarikh siap asal pada 6 Ogos 2026.
Bagaimanapun, projek tersebut berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual, sekali gus membolehkan penduduk menikmati manfaat kemudahan itu lebih cepat daripada yang dirancang.
Penyiapan awal projek ini mencerminkan komitmen JPS Sarawak bersama pihak kontraktor dalam memastikan pelaksanaan projek infrastruktur awam dilaksanakan secara cekap, berkualiti dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan, selain menyokong usaha kerajaan meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui penyediaan kemudahan asas yang lebih baik.
Turut hadir, Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Samarahan Ahmad Yusof Abd Razak, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Asajaya Michael Pawan dan Penolong Jurutera JPS Bahagian Samarahan Mohd Ikhwan Mohamad Hafipi. -EDISI UKAS